Ribut petir akibat sistem tekanan rendah dijangka berlaku di utara esok

Bernama
Disember 20, 2021 16:32 MYT
MetMalaysia mengingatkan orang ramai di kawasan yang terlibat untuk lebih berwaspada. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesan sistem tekanan rendah yang berkemungkinan menyebabkan ribut petir dijangka di negeri-negeri utara Semenanjung pada esok dan Rabu ini (21 dan 22 Dis).
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata ramalan tersebut adalah susulan daripada sistem tekanan rendah kini berada di kedudukan 4.8'U 93.7'T di Laut Andaman.
"Sistem tekanan rendah ini dijangka bergerak ke arah timur menghampiri utara Selat Melaka. Kemungkinan sistem ini meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah, sekali gus keadaan ini boleh menyebabkan ribut petir di negeri-negeri utara Semenanjung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai di kawasan yang terlibat untuk lebih berwaspada.
Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lepas menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa negeri dilanda banjir dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
-- BERNAMA
#ribut petir #Banjir 2021 #MetMalaysia #negeri utara