MALAYSIA
Ribut: Sebuah PPS diaktifkan tempatkan 18 mangsa alami kerosakan rumah
Ribut yang melanda kawasan Kampung Medan, Kuala Langat semalam diisytiharkan sebagai Bencana Tahap 1, bagaimanapun ia tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa. - Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
SHAH ALAM: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga susulan kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Medan, Kuala Langat dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, sebanyak lima sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.
Beliau berkata kawasan terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
Turut terkesan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9, serta kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
"Sebanyak 11 murid dari SRA Kampung Medan telah mengalami kecederaan ringan, namun hanya lima daripadanya telah mendapat rawatan daripada pihak Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang, manakala baki enam murid telah dibawa pulang oleh pihak keluarga.
"Selain itu, terdapat seorang lelaki telah cedera di bahagian mata dan seorang wanita patah kaki akibat dihempap besi ketika kejadian bencana berlaku. Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata kejadian itu yang diisytiharkan sebagai Bencana Tahap 1, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa dengan hanya kerosakan infrastruktur yang dilaporkan.
Beliau berkata kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok dengan kerjasama pelbagai pihak juga sedang giat dijalankan sejak 4.30 petang semalam.
"Pihak polis menasihati orang awam agar tidak menghampiri atau memasuki kawasan bencana tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini serta tidak mengganggu operasi pembersihan dan penyelamatan yang sedang dijalankan oleh agensi-agensi terlibat," katanya.
-- BERNAMA