[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Ribut Tropika Senyar: MERCY Malaysia perluas tindak balas kecemasan banjir

Bernama 28/11/2025 | 14:18 MYT
Presiden MERCY Malaysia Datuk Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata impak ribut tropika itu bersama banjir monsun yang sedang berlaku, memperlihatkan realiti perubahan iklim yang sedang mengubah risiko bencana di rantau ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia memperluas bantuan tindak balas kecemasan susulan Ribut Tropika Senyar di pantai barat Semenanjung Malaysia, kejadian pertama seumpamanya yang direkodkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Selat Melaka.

MERCY Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesediaan untuk mempertingkatkan respons kecemasan di kawasan terjejas, termasuk memperluas perkhidmatan kesihatan bergerak, intervensi air, sanitasi dan kebersihan, perlindungan serta sokongan psikososial selain penghantaran barangan penting bukan makanan kepada penduduk yang memerlukan.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata impak ribut tropika itu bersama banjir monsun yang sedang berlaku, memperlihatkan realiti perubahan iklim yang sedang mengubah risiko bencana di rantau ini.

"Respons kami melangkaui bantuan segera dengan turut mengukuhkan sistem, kerjasama dan daya tahan komuniti.

"MERCY Malaysia kekal komited terhadap kerja-kerja kemanusiaan yang terkoordinasi, berprinsip dan berasaskan bukti yang melindungi nyawa, memelihara kehormatan serta memperkukuh keupayaan komuniti terjejas untuk menghadapi krisis semasa dan akan datang," katanya dalam kenyataan sama.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki perairan Selat Melaka yang menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

MetMalaysia pada pagi ini memaklumkan ribut tropika itu telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca bertekanan rendah, namun masih berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia hingga esok.

Sementara itu, MERCY Malaysia memaklumkan akan meneruskan operasi kecemasan di Kelantan, Perlis, Perak dan Selangor bagi membantu penduduk terjejas ribut dan banjir monsun, sambil memantau keadaan di Terengganu dengan pihaknya bersedia menempatkan pasukan bantuan sekiranya perlu.

"Sejak 25 Nov, pasukan MERCY Malaysia telah menjalankan penilaian keperluan secara pantas, mengagihkan bekalan bantuan asas, menyediakan perkhidmatan perubatan mudah alih serta memberikan bantuan psikologi kecemasan di komuniti dan pusat pemindahan yang terjejas.

"Sebagai sebahagian daripada sokongan psikososial bersepadu, aktiviti mesra kanak-kanak turut dilaksanakan bagi menyokong kanak-kanak semasa pemindahan. Perhatian khusus juga diberikan kepada kumpulan rentan, termasuk kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu yang menghidap penyakit kronik," menurut kenyataan itu.

MERCY Malaysia juga menyeru agar tindakan bersama yang berterusan diambil bagi menyokong penduduk yang terjejas akibat banjir dan keadaan cuaca ekstrem.

-- BERNAMA

#ribut tropika Senyar #mercy malaysia #MetMalaysia #Selat Melaka