MALAYSIA

Ringgit terus kukuh, tetapi pembangkang 'senyap sunyi' - PM Anwar

UMNO Online 20/06/2025 | 06:38 MYT
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Ringgit Malaysia terus mencatat pengukuhan ketara apabila tersenarai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.


Ringkasan AI
  • Ringgit Malaysia mengukuh sebanyak 5.2% berbanding dolar AS, menjadikannya antara mata wang paling berprestasi di Asia menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Pengukuhan ringgit dikaitkan dengan keyakinan pelabur dan reformasi di bawah Ekonomi Madani, serta peningkatan prestasi berbanding beberapa mata wang serantau seperti rupiah, renminbi, dan peso.
  • Kerajaan juga berjaya mengawal pertumbuhan hutang negara, dengan penurunan jumlah hutang baharu daripada RM100 bilion (2022) kepada jangkaan RM80 bilion pada tahun ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan ekonomi negara dan keberkesanan reformasi struktur yang sedang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Menurutnya, setakat 18 Jun lalu, ringgit mengukuh 5.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat selain turut mengatasi mata wang utama dan serantau lain.

"Ia peningkatan 6.3 peratus ketimbang rupiah Indonesia, renminbi China (3.6 peratus), peso Filipina (3.2 peratus), dolar Australia (0.6 peratus) dan baht Thailand (0.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Kementerian Kewangan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menempelak pihak yang sering riuh-rendah mengkritik beliau apabila prestasi ringgit lemah berbanding mata wang negara serantau sebelum ini.

"Bila ringgit kita turun kena hamput, balun, gagal dan begitu begini. Perdana Menteri kena turun, sekarang ringgit sudah naik, jadi perdana menteri kena naiklah. Itu logik yang tidak masuk akal.

"Tetapi dalam frasa Inggeris, stay (in) the cause. Jangan tinggal dasar, kita ada kerangka Ekonomi Madani, kita ada langkah-langkah yang kita ambil. Kita lakukan dengan sedaya upaya kita.

"Jadi mudah-mudahan kita kekalkan pengukuhan ini. Tapi bila kukuh...senyap sunyi tetapi bila lemah sedikit riuh rendah," katanya lagi.

"Bila kukuh senyap sunyi, bila lemah sedikit, riuh rendah" - PM Anwar


Sementara itu, Anwar menjelaskan, pengurusan fiskal yang baik membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan hutang negara dengan berkesan.

"Kita berjaya mengawal pertumbuhan hutang negara yang mana jumlah hutang baharu kian menurun daripada RM100 bilion (2022) kepada RM85 bilion (2024) dan unjuran tahun ini RM80 bilion.

"Ini bermaksud, sejak kita ambil alih, kita sudah turun hutang RM20 bilion," ujarnya.



#Kementerian Kewangan #Anwar Ibrahim #pembangkang #terkini #ringgit mengukuh