Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Pengasas bersama syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures itu, tiba kira-kira jam 1.30 petang tadi, dan terus melangkah masuk ke dalam bangunan SPRM ditemani peguamnya Datuk M Kumaraendran.

Red Granite Pictures, yang berpangkalan di Hollywood, didakwa menerima wang bernilai AS$64 juta (RM260 juta) dari dana berjumlah hampir RM1 bilion yang dikatakan dicuri dari 1MDB.

Syarikat pembikinan filem itu, telah menghasilkan beberapa filem termasuk Wolf of Wall Street, Dumb and Dumber 2, dan Big Daddy’s.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), seperti yang dilaporkan media antarabangsa, percaya dana itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Riza, dan wang itu digunakan untuk membeli hartanah, selain digunakan untuk pembikinan filem.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga hadir untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana dari Yayasan Akal Budi, yang dikatakan diuruskan oleh keluarga beliau.