PAPAR: Rizab margin bekalan air di Sabah kini adalah rendah pada tahap 7.3 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata angka itu menunjukan Sabah antara negeri mempunyai rizab margin bekalan air rendah bawah 10 peratus bersama Perlis dan Melaka, berbanding negeri lain yang mempunyai rizab margin lebih baik.

Ahli Parlimen Papar itu berkata Pulau Pinang dan Terengganu mempunyai rizab margin pada tahap selesa iaitu melebihi 20 peratus manakala Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu antara 10 hingga 20 peratus iaitu tahap sederhana.

"Kalau kita teliti dalam bandar utama (di Sabah) termasuk kawasan 'Greater Kota Kinabalu', kadar rizab margin kita adalah pada kadar negatif maksudnya kita kekurangan sumber air terawat, tetapi ini belum lagi soal kebocoran bekalan air yang menyebabkan bekalan air sampai kepada pengguna lebih teruk.

"Ada kata rizab margin 7.3 peratus masih bagus tetapi sebenarnya tidak kerana walaupun rezab itu ada, kita juga berdepan masalah sistem bekalan selain air tidak terhasil, jadi keadaan bekalan air jadi serius," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Khas Projek Pembinaan Empangan Papar di sini hari ini.

'Greater Kota Kinabalu' merujuk kepada kawasan pembangunan ekonomi di pantai barat Sabah melibatkan daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar.

Sehubungan itu, Armizan berkata sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi rizab margin bekalan air rendah itu, Papar telah dikenal pasti sebagai satu daripada kawasan terlibat untuk pembinaan empangan bagi bekalan air.

"Bagi menyelesaikan isu bekalan air di Utara 'Greater Kota Kinabalu' kita ada projek LRA (Loji Rawatan Air) Telibong Fasa Kedua, kawasan Selatan kita ada projek LRA Kogopon Fasa Kedua, namun ini merupakan rancangan untuk jangka masa sederhana.

"Bagi langkah jangka panjang, kita masih perlukan empangan sebagai sumber air kita bagi selesaikan masalah bekalan air, jika tiada penyelesaian diambil segera ia dikhuatiri akan menjadi lebih kritikal. Kajian awal telah dilakukan dan terdapat empat lokasi cadangan untuk empangan ini," katanya.

Tanpa mendedahkan lokasi terlibat, beliau berkata spesifikasi empangan yang dibina itu akan bergantung kepada lokasi, namun juruperunding projek itu belum dapat memuktamadkan kajian mereka atas beberapa faktor termasuk isu dalam komuniti.

Armizan berkata cadangan pembinaan empangan itu seharusnya bukan hanya melibatkan pembangunan untuk mengatasi isu bekalan air, tetapi ia perlu disertai bersama pakej pembangunan sosioekonomi bagi memanfaatkan penduduk terutama di kampung terkesan dalam pembangunan.

"Dalam sesi taklimat khas tadi diputuskan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pembangunan Sosio-Ekonomi Komuniti Kawasan Empangan Papar sebagai pemangkin untuk menyediakan syor dan cadangan untuk pelan pembangunan sosioekonomi komuniti untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA