Rizalman: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan siasat - TPM

Bernama
April 4, 2018 08:00 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan sebelum merasmikan 'World Halal Week 2018' di sebuah hotel di Ibu Negara hari ini. --fotoBERNAMA
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan melakukan siasatan terhadap kes Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Kita akan lakukan siasatan. Polis akan lakukan siasatan," kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita ketika ditanya mengenai kes berkenaan di sini, hari ini selepas merasmikan Minggu Halal Dunia.
Terdahulu Rizalman yang mengadakan sidang akhbar pagi tadi menafikan dakwaan beliau terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas ditahan di sebuah kelab hiburan di ibu negara, awal pagi Isnin lalu.
Rizalman dalam sidang akhbar itu percaya dakwaan itu adalah satu perangkap yang bermotifkan politik bagi merosakkan nama baiknya, namun tidak tahu siapa yang melakukannya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #Dadah #Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik #motif politik #Perangkap #polis #pusat hiburan #RIZALMAN MOKHTAR #serbuan