MALAYSIA

RM1 juta untuk suntikan vaksin Influenza A percuma kepada 12,500 pelajar - Amirudin

Bernama 17/10/2025 | 09:00 MYT
AMIRUDIN: Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan, dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan suntikan vaksin secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar.
  • Program ini akan dilaksanakan di empat daerah yang dikenal pasti mengalami penularan penyakit iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
  • Pelaksanaan vaksin akan bermula minggu hadapan dan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri, Jamaliah Jamaluddin.


Beliau berkata daerah terbabit ialah Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling yang dikenal pasti mengalami penularan penyakit itu yang memberikan risiko kepada kesihatan pelajar.

Amirudin berkata ketetapan berkenaan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, yang turut memutuskan beberapa tindakan lain melibatkan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kejadian ribut yang melanda Telok Panglima Garang di Banting, dua hari lepas.

"Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan, dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao mengesahkan seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A.

Selain murid berusia lapan tahun itu yang disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 pagi, seluruh ahli keluarganya turut disahkan positif wabak terbabit.

Berhubung kes pelajar perempuan maut ditikam, Amirudin berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain di sekolah berkenaan, terutamanya mereka yang menyaksikan jenayah itu.

Beliau berkata insiden terbabit telah menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah itu selepas kejadian telah menurun.

"Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru, dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah serta memulihkan kesan trauma, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru, dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa.

"Selain itu, beberapa langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran keluar masuk pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah," katanya.


Amirudin berkata proses itu akan melibatkan perbincangan bersama dengan ibu bapa, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

Beliau berkata insiden ngeri sebegitu tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi Selasa lepas, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di dalam kawasan sekolah di Petaling Jaya, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman yang banyak di bahagian dada dan leher menggunakan sebilah pisau.

-- BERNAMA



#Amirudin Shari #vaksin #Influenza A #RM1 juta