MALAYSIA

RM10.1 juta baik pulih sekolah rosak akibat ribut di Kuala Langat

Ernalisa Othman 23/10/2025 | 07:50 MYT
Amirudin berkata, peruntukan berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). - Gambar fail
SELANGOR: Sebanyak empat sekolah yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut di sekitar Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang di sini, baru-baru ini, akan dibaik pulih dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.1 juta.


Ringkasan AI
  • Empat sekolah di Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang yang rosak akibat ribut akan dibaik pulih dengan kos keseluruhan RM10.1 juta, melibatkan SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan SMK Sijangkang Jaya.
  • Kerja pembaikan melibatkan struktur bumbung dan sistem elektrik, dengan SMK Sijangkang Jaya telah mula digunakan semula bagi persediaan peperiksaan SPM, manakala lebih 4,000 murid sekolah rendah akan mengikuti PdPR sehingga pembaikan selesai dalam tempoh tiga bulan.
  • JKR telah memohon kaedah perolehan lantikan terus bagi mempercepatkan proses pembaikan dan dijangka menyerahkan bangunan sekolah kepada KPM menjelang minggu ketiga Januari depan.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek pembaikan itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mengulas lanjut, katanya kebanyakan kerosakan melibatkan struktur bumbung dan bangunan utama sekolah.

Katanya, kerja-kerja pembaikan di SMK Sijangkang Jaya berjalan lancar dan kebanyakan kawasan yang rosak telah diserahkan kembali kepada pihak sekolah untuk digunakan bagi persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2 November ini.

“Calon-calon SPM sudah dibenarkan menggunakan kawasan sekolah yang telah diisytiharkan selamat untuk tujuan peperiksaan,” katanya selepas mengadakan taklimat mengenai kerja-kerja baik pulih empat buah sekolah terlibat di Sekijang pada Khamis.

Amirudin menjelaskan, bagi sekolah rendah yang masih dalam proses baik pulih, kerja berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dan sesi pembelajaran akan dijalankan secara dalam talian buat sementara waktu.

“Lebih 4,000 murid dari tiga sekolah rendah akan mengikuti kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sehingga sekolah siap dibaik pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Tambah beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan kerja pembersihan dan penilaian awal di kawasan sekolah yang terjejas dengan anggaran kos pembersihan sebanyak RM1.9 juta.

“Selain itu, kerja pendawaian semula turut akan dilaksanakan kerana banyak sistem elektrik terjejas. Sebahagian besar peralatan sekolah turut rosak akibat air hujan yang masuk ketika kejadian,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan JKR akan memastikan semua kerja pembaikan dilakukan segera bagi menjamin keselamatan pelajar dan kelancaran sesi persekolahan.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Shukri Ishak memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil kontraktor dan pembekal bertauliah untuk mengemukakan cadangan pembaikan kepada JKR pada keesokan hari.

“JKR telah memohon supaya KPM meluluskan kaedah perolehan lantikan terus bagi mempercepatkan proses pembaikan.

"Matlamat kami ialah memastikan bangunan sekolah dapat diserahkan kembali kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau KPM menjelang minggu ketiga Januari depan,” katanya.

Amirudin dalam pada itu, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk JKR, KPM dan agensi kerajaan negeri yang komited membantu mempercepatkan kerja baik pulih demi kepentingan pelajar.




#ribut sijangkang #sekolah rosak #kos baik pulih #Amirudin Shari