Skip to main content

Malaysia

RM1.5 bilion penyelenggaraan sekolah pelaburan penting dalam ekosistem pendidikan - Azman

61727238912_tbAzmanAdnanKPM.jpg
Azman berkata tambahan RM500 juta itu amat signifikan memandangkan banyak sekolah, khususnya yang telah berusia puluhan tahun memerlukan penyelenggaraan secara berterusan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan penyelenggaraan kepada semua jenis sekolah daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada 2027 menjadi pelaburan penting dalam menyediakan ekosistem pendidikan yang lebih selamat, kondusif dan berkualiti.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata tambahan RM500 juta itu amat signifikan memandangkan banyak sekolah, khususnya yang telah berusia puluhan tahun memerlukan penyelenggaraan secara berterusan.

Beliau berkata keperluan itu lebih ketara di sekolah luar bandar dan kawasan yang berhadapan dengan faktor geografi, cuaca serta kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

“Isunya bukan hanya bangunan yang kelihatan usang, tetapi turut melibatkan perkara asas seperti bumbung, pendawaian elektrik, tandas, sistem perpaipan, bekalan air, perabot, makmal, bengkel, kemudahan pendidikan khas serta aspek keselamatan bangunan.

“Oleh itu, peningkatan ini amat signifikan kerana penyelenggaraan bukan sekadar berkaitan keadaan fizikal bangunan tetapi mempunyai hubungan langsung dengan aspek keselamatan, keselesaan serta kualiti persekitaran pembelajaran murid dan tempat kerja guru,” katanya kepada Bernama.

Azman juga menyifatkan keputusan kerajaan untuk meliputi pelbagai aliran dan kategori sekolah sebagai pendekatan inklusif kerana kemudahan pendidikan yang selamat, kondusif dan bermaruah perlu dinikmati semua murid tanpa mengira jenis sekolah atau lokasi.

Bagaimanapun, beliau berkata kecekapan pelaksanaan perlu diberi perhatian supaya sekolah yang mempunyai isu keselamatan dan keperluan paling mendesak diberikan keutamaan, bukan semata-mata berdasarkan tuntutan permohonan.

“Pada pandangan saya, proses daripada mengenal pasti kerosakan, membuat penilaian teknikal, meluluskan peruntukan sehingga kerja pembaikan dilaksanakan perlu dipermudah dan dipercepat.

“Kita tidak mahu peruntukan yang besar telah disediakan tetapi sekolah masih perlu menunggu terlalu lama untuk membaiki kemudahan asas yang rosak,” katanya.

Azman juga berharap peningkatan peruntukan itu disertai dengan mekanisme pemantauan secara telus serta berkesan bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memenuhi keperluan sekolah dan memberi impak kepada murid.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada 2027, meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

Anwar berkata Kementerian Pendidikan juga akan menggerakkan pasukan ke setiap daerah bermula bulan depan bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana sekolah supaya keperluan dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak tertangguh sehingga tahun depan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement