IPOH: Kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan menggunakan kaedah teknologi asfalt terubahsuai getah bekuan (CMA) di seluruh negara.

Ketua Unit Kejuruteraan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Nazirah Ahmad berkata jumlah itu mampu menampung kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan melibatkan jajaran sepanjang 270 kilometer (km).

"Pada 2019, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk kerja pembaikan dan penurapan melibatkan jajaran sepanjang 205 km (seluruh negara) menggunakan kaedah CMA ini.

"Untuk tahun ini pula, kerajaan sekali lagi menyalurkan peruntukan bagi proses sama dilakukan melibatkan jajaran sepanjang 65 km di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Tapak Penggunaan Teknologi CMA di Kawasan Perindustrian Tasek di sini semalam.

CMA merupakan teknologi baharu penurapan jalan menggunakan bitumen (tar) terpinda dengan campuran getah bekuan sebagai bahan campuran asfalt yang boleh meningkatkan kualiti dan memanjangkan jangka hayat turapan.

Nazirah berkata semua jalan yang diselenggara menggunakan teknologi CMA ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan sebagainya.

"Kerjasama ini membabitkan pembaikan dan penurapan jalan di bawah seliaan dan penyelenggaraan agensi tersebut," katanya.

Beliau berkata objektif utama pelaksanaan kaedah CMA ini adalah untuk memperluaskan penggunaan getah sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penurapan menggunakan kaedah CMA di Kawasan Perindustrian Tasek, Kawasan Perindustrian IGB, Jalan Bendahara serta jalan utama Station 18.

Menurutnya kerja pembaikan dan penurapan di semua kawasan itu bermula semalam dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan.

"Jumlah keseluruhan jajaran yang dibaiki dan diturap adalah kira-kira 9.5 km. Diharapkan pengguna jalan raya akan mematuhi arahan semasa pelaksanaan kerja di kawasan terlibat," katanya.

-- BERNAMA