RM15.5 bilion hasil negara dikembalikan, perang rasuah dan kartel diteruskan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program "Temu Anwar" Bersama Pelajar Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) hari ini. - Foto Bernama
SERI ISKANDAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, susulan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Ringkasan AI
- Kerajaan berjaya mengembalikan hasil negara sebanyak RM15.5 bilion dalam dua tahun, hasil tindakan tegas terhadap rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Anwar menegaskan tiada kompromi terhadap jenayah kewangan, termasuk terhadap individu berpangkat tinggi, dan menyeru golongan muda menyokong perjuangan menegakkan keadilan serta integriti.
- Beliau turut menekankan pembangunan sahsiah dan nilai kemanusiaan perlu seiring dengan kemajuan ilmu dan teknologi, selaras dengan konsep Malaysia MADANI untuk masa depan negara yang lebih adil dan sejahtera.
"Dalam beberapa tahun yang saya ada ini, saya mahu, Insya-Allah, membersihkan kekusutan yang berlaku. Apa pun yang orang kata tidak menggugat saya, saya anggap itu adalah tanggungjawab kita," katanya semasa program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Canselori universiti itu di Seri Iskandar, di sini, hari ini.
Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk 'Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi' pada majlis itu, yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara, sambil menegaskan bahawa prinsip keadilan dan integriti mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran individu terbabit.
"Kadangkala mereka bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun, saya tidak peduli. Kamu boleh ada gelaran, tetapi jika mencuri, kita akan tangkap, dibicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan ke penjara.
"Itulah prinsipnya, dan golongan muda mesti memahami serta menyokong perjuangan ini. Bolehkah saya percayakan kamu untuk mendukungnya?" katanya disambut tepukan gemuruh hadirin termasuk pelajar.
Menurut Perdana Menteri, usaha memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus berintegriti merupakan sebahagian daripada misi besar kerajaan bagi menjamin masa depan negara serta generasi muda, memandangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju.
Perdana Menteri turut menyeru para pelajar dan belia agar mendukung perjuangan menegakkan keadilan serta menolak sebarang bentuk penindasan kaum, selain membina jati diri berasaskan nilai kemanusiaan, etika tinggi, ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu.
Anwar berkata pembangunan ilmu dan teknologi perlu digerakkan seiring dengan pembentukan sahsiah, akhlak dan nilai kemanusiaan, selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan prinsip keadilan, nilai murni serta kesejahteraan sejagat.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa meninjau Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian.
Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Anwar berkata keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.
Beliau berkata, penjimatan itu membolehkan lebih banyak dana disalurkan bagi kebajikan rakyat, perbelanjaan kos sara hidup serta pelaburan dalam prasarana berkualiti untuk kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami