RM159 juta dibelanjakan untuk projek persimpangan bertingkat Tanah Merah - Fadillah

Bernama
Mac 3, 2021 23:04 MYT
FADILLAH: Pelaksanaan projek ini amat strategik dan bersesuaian berikutan bandar Tanah Merah merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dan menjadi pusat aktiviti ekonomi penduduk setempat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM159 juta telah dibelanjakan bagi Projek Persimpangan Bertingkat di Atas Lintasan Kereta Api di Pekan Tanah Merah, Kelantan yang siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata projek mula dibina pada 19 Ogos 2016 dan siap sepenuhnya pada 22 Dis tahun lepas.
"Pelaksanaan projek ini amat strategik dan bersesuaian berikutan bandar Tanah Merah merupakan kawasan yang sedang pesat membangun dan menjadi pusat aktiviti ekonomi penduduk setempat.
"Limpahan kenderaan terutamanya pada waktu puncak telah mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu lintas dan keadaan ini bertambah teruk dengan adanya laluan kereta api di tengah-tengah bandar," katanya pada majlis penyerahan projek berkenaan, di sini hari ini.
Katanya skop projek itu merangkumi pembinaan persimpangan bertingkat di atas Km29 Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dan Laluan Jalan Yahya Petra, menaik taraf jalan sedia ada, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat dan pembinaan persimpangan U.
Pada majlis sama, Fadillah turut menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang menerima kontrak Jabatan Kerja Raya di bawah Rancangan Malaysia ke-11.
Fadillah berkata SST itu melibatkan dua projek iaitu Projek UMS dengan pembinaan jalan masuk utama sepanjang 1.5 kilometer ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Pakej 2C & 3A; Kok Lanas ke Bukit Tiu, Kelantan sejauh 19.13 km.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #RM159 juta #Projek Persimpangan Bertingkat #Atas Lintasan Kereta Api #Pekan Tanah Merah #pusat aktiviti ekonomi