PONTIAN: Sebanyak RM178.7 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian bagi melakukan kerja-kerja pembesaran jambatan serta menaik taraf jalan di daerah berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata antara yang sedang dijalankan melibatkan pembesaran Jambatan Sungai Pontian Kecil dengan kos sebanyak RM23.1 juta dan juga menaikkan taraf Jalan Pekan Nanas ke Tanjung Piai (RM65.6 juta).

Selain itu katanya, turut diluluskan ialah peruntukan sebanyak RM90 juta bagi pembinaan jalan daripada Bukit Nyamuk di daerah Kluang ke Kampung Puteri Menangis, di sini.

"Pada ketika dan saat ini, ada beberapa projek JKR sedang berjalan di daerah Pontian dan ini tiga projek utama yang penting bagi melancarkan aliran trafik di Pontian.

"Bagi projek pembesaran Jambatan Sungai Pontian Kecil daripada dua lorong kepada empat lorong, ia dijangka siap pada bulan September 2025," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek berkenaan oleh JKR Daerah Pontian, di sini, semalam.

Beliau berharap agar projek-projek yang dirancang dan sedang berjalan tersebut akan dapat disiapkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan tersebut dengan selesa.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata JKR Daerah Pontian juga telah mengemukakan beberapa cadangan pembesaran dan menaik taraf jalan seperti jalan dari Maktab Rendah Sains Mara ke Pekan Tampok, Benut.

Beliau berkata turut dicadangkan adalah pembesaran jalan dari Benut ke Tol Simpang Renggam bagi mengatasi kesesakan pada hari biasa dan musim perayaan.

"Satu cadangan lagi adalah pelebaran jalan negeri dari Ayer Baloi, di sini, ke Tol Sedenak memandangkan di situ menempatkan banyak kilang-kilang dari luar negara yang memberi ribuan peluang pekerjaan di Pontian, Simpang Renggam, Kulai serta daerah Batu Pahat.

"Berkenaan pembesaran jambatan Pontian besar itu, sudah dipohon sebelum ini tetapi tidak dianggap sebagai keutamaan jadi kami pohon lagi untuk Jambatan Parit Semerah dan juga Jambatan Pontian Besar. Jadi kami sudah mohon semula untuk pembesaran jambatan," katanya.

-- BERNAMA