KUDAT: Peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sabah kepada RM18.7 bilion menerusi Belanjawan 2027 akan memperkukuh usaha menangani isu asas rakyat, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu meningkat berbanding RM17.6 bilion tahun ini, sekali gus menyediakan sokongan kewangan yang kukuh bagi meneruskan agenda pembangunan negeri dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt lepas turut menyediakan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak, selain RM350 juta untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan.
“Kerajaan negeri sedang meneliti keperluan semasa rakyat, kemampuan kewangan negeri serta kesinambungan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk memastikan belanjawan negeri memberi penekanan kepada aspek asas pendidikan, perumahan, kebajikan dan ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Sentuhan Kasih Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Datuk Ben Chong.
Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan negeri turut disokong kedudukan hasil Sabah yang kekal tinggi, dengan kutipan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion (2023), RM6.87 bilion (2024) dan RM6.76 bilion (2025).
Beliau berkata pencapaian itu jauh lebih baik berbanding kutipan sekitar RM4 bilion pada 2019, sekali gus mencerminkan kedudukan fiskal negeri yang kukuh untuk memperluas bantuan dan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi manfaat rakyat.
“Dengan usaha berterusan, kepelbagaian sumber hasil dan pengurusan kewangan yang berhemah, saya yakin kutipan hasil negeri bagi 2026 mampu melepasi paras RM7 bilion. Peningkatan hasil ini akan diterjemahkan terus kepada pelaksanaan projek serta inisiatif yang memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri merangka perancangan jangka panjang untuk menjadikan Kudat sebagai hab Ekonomi Biru serantau dengan memanfaatkan kekayaan sumber marin serta kedudukannya yang strategik berhampiran pasaran antarabangsa seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina.
Beliau berkata usaha itu akan digerakkan menerusi cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berteraskan sektor maritim dan teknologi hijau.
Bagi fasa awal, Hajiji berkata pelan induk sedang disediakan bagi kawasan seluas 1,205 ekar (487.6 hektar) milik SEDCO di Kampung Limau-Limawan dan Parapat Laut, selain mengenal pasti kawasan tambahan seluas 3,129 ekar (1,266.2 hektar) di Matunggong, Banggi serta Tanjong Kapor.
“Projek berkenaan memberi fokus kepada pembangunan industri pemprosesan makanan laut, perikanan laut dalam, penaiktarafan struktur bagang pesisir pantai serta cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon logistik perdagangan serantau,” katanya.
Mengenai Program Sentuhan Kasih Rakyat, Hajiji berkata penganjuran berkonsepkan ‘empat dalam satu’ itu menggabungkan Karnival Jom Malaysia, Program Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS), dengan penglibatan lebih 30 gerai serta kaunter agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata seramai 14,000 ketua isi rumah menerima manfaat bantuan Sentuhan Kasih di Parlimen Kudat, selain menyeru usahawan tempatan meningkatkan kualiti dan penjenamaan produk kraf tangan, pertanian serta perikanan bagi menembusi pasaran lebih luas.
-- BERNAMA