[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

RM2 bilion untuk tebatan banjir tetapi kesannya positif hanya selepas beberapa tahun - Penganalisis

Irfan Faruqi 24/11/2025 | 23:20 MYT
Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi adalah sebuah projek besar di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, yang bertujuan mengurangkan risiko banjir dengan membina dan menaik taraf pelbagai struktur saliran. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Pelaburan besar kerajaan untuk membina tebatan banjir adalah langkah mitigasi yang penting.


Ringkasan AI
  • Pelaburan besar kerajaan untuk tebatan banjir merupakan langkah mitigasi penting; kesan positif infrastruktur hanya kelihatan beberapa tahun selepas siap.
  • Felo Kanan DPPC, UTM, Dr. Khamarrul Azahari menyokong peningkatan projek tebatan banjir setiap tahun, termasuk peruntukan RM2.2 bilion tahun depan.
  • Usaha kerajaan dalam mengurangkan impak bencana telah menunjukkan kesan positif, namun penting untuk seiringkan projek mitigasi bukan struktur.


Namun, Felo Kanan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak berkata, kesan positif pembinaan infrastruktur tersebut hanya boleh dilihat beberapa tahun selepas ia siap dan mula beroperasi.

“Dalam konteks projek tebatan banjir, impaknya tidak dapat dilihat secara langsung. Ia perlu diukur dalam tempoh projek tersebut berjalan dan juga kesan positif daripada pelaburan beberapa infrastruktur yang termasuk dalam projek tebatan banjir itu mungkin hanya boleh dilihat selepas beberapa tahun.

“Saya amat sokong jumlah projek tebatan banjir ditingkatkan saban tahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah umumkan RM2.2 bilion tahun depan, hanya untuk tebatan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.



Selain itu, Khamarrul Azahari memaklumkan, ketika ini sudah ada kesan positif terhadap usaha mengurangkan impak bencana hasil daripada pelaburan kerajaan yang telah dibuat lebih awal.

“Banyak agensi yang saya lihat selepas lebih sedekad dalam pengurusan bencana, menunjukkan pengurusan yang semakin mantap. Pelaburan bersasar memberi impak langsung.

“Saya juga tidak nafikan kepentingan untuk seiringkan dengan projek mitigasi bukan struktur seperti projek amaran awal bencana, pengukuhan kapasiti pendudukan setempat dan respons pantas diperingkat komuniti,” ujarnya.

Setakat 11 malam, Khamis, 106 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan tujuh negeri, yang menempatkan 16,414 mangsa daripada 5,631 keluarga, akibat bencana banjir.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan musim Monsun Timur Laut (MTL), yang bermula pada 13 November lepas dijangka berterusan hingga Mac 2026.


Agenda AWANI: Hujan lebat, mana kawasan berisiko bencana?

#Agenda Awani #banjir #MetMalaysia #monsun timur laut #PPS #MTL