SERDANG: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Agrobank memeterai kerjasama strategik menerusi Fasiliti Perdagangan bernilai RM200 juta bagi memperkukuh pembangunan industri agromakanan dan rantaian bekalan makanan di Selangor.
Fasiliti Perdagangan itu akan menyokong pembiayaan pembangunan infrastruktur, keperluan modal kerja serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) PKPS termasuk pembangunan Gudang Makanan Berstatus Halal Selangor sebagai stok penampan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kemudahan itu diperlukan bagi mempercepat usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan negeri berikutan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan bekalan.
“Apabila melihat keadaan yang terjadi sekarang dengan isu bekalan, Selat Hormuz, COVID-19, kita memerlukan pendekatan yang mampu kita laksanakan dengan segera.
“RM200 juta ini juga untuk menyokong program SEED 2030 yang telah dilancarkan PKPS antaranya berkaitan dengan Gudang Makanan Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian kerjasama itu dan penyerahan replika cek RM200 juta sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini semalam.
Penyerahan replika cek disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Mohamad Khairil yang mewakili PKPS serta disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.
Berhubung pembangunan Gudang Makanan Berstatus Halal Selangor, Mohamad Khairil berkata beberapa jenis barangan seperti beras, minyak, ikan, ayam dan daging akan disimpan sebagai stok penampan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan termasuk ketika berlaku bencana atau krisis.
“Ini sebagai penampan jika terjadi sebarang isu seperti COVID atau jika tiba-tiba bekalan seperti ayam atau telur terputus, minyak tidak cukup atau perkara di luar kawalan seperti bencana dan sebagainya.
“Dengan dana RM200 juta ini juga kita akan membina gudang makanan yang melibatkan infrastruktur seperti cold room, akan melibatkan tempat penyimpanan dari segi penggunaan IoT (Internet benda) menggunakan kecerdasan buatan di dalam gudang itu sendiri,” katanya.
Mohamad Khairil berkata gudang itu disasarkan dapat menyediakan stok makanan untuk menampung keperluan 50 peratus daripada keseluruhan penduduk Selangor dalam tempoh dua tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata kemudahan itu turut memberikan ruang kepada PKPS untuk memperluas program pembangunan agropreneur menerusi pembukaan lebih banyak tanah bagi projek pertanian berasaskan teknologi.
“Insya-Allah dengan adanya bantuan dan sokongan Agrobank dengan RM200 juta ini, lebih banyak tanah akan dibuka dan program melibatkan fertigasi ataupun penggunaan IoT dan agropreneur dapat dijalankan dengan lebih baik dan lebih banyak,” katanya.
Sementara itu, PKPS dalam kenyataan memaklumkan Fasiliti Perdagangan itu dijadualkan berkuat kuasa secara rasmi bermula Mac 2027.
Ia turut menyokong pembangunan infrastruktur utama lain antaranya Pusat Pemprosesan Ayam Halal, Pusat Pemprosesan Produk Ehsan serta pembinaan dan naik taraf Gudang Pusat Pengedaran bagi memperkukuh keupayaan pengedaran bahan makanan ke seluruh daerah di Selangor.
Komitmen itu turut merangkumi keperluan pengoperasian dan aktiviti R&D berimpak tinggi antaranya pembangunan produk makanan sedia dimakan dan sedia dipanaskan di bawah jenama Ehsan, pengoperasian Pusat Penyelidikan Pertanian Ehsan bagi mempergiat penyelidikan pertanian pintar serta pembangunan modal insan menerusi Pusat Latihan Pertanian Ehsan.
Kerjasama itu turut menyokong pembangunan agrotrend di Ehsan Resort dan Pusat Konvensyen, selaras dengan usaha PKPS memperluas aktiviti dan potensi pembangunan sektor agromakanan secara menyeluruh.
-- BERNAMA