Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50.2 juta diperuntukkan kepada Sabah dan RM50 juta di Sarawak.

"Peruntukan itu meliputi pembinaan sebanyak 2,756 unit rumah baharu dan membaik pulih sebanyak 5,744 buah rumah di seluruh negara. Kami sudah mengenal pasti dan telahpun menerima senarai keluarga yang akan menerima bantuan rumah tersebut.

"Setiap rumah berharga RM50,000 seunit dan pembinaan beberapa buah rumah telah mula dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sentosa, Hill Top, di sini hari ini.

Bagi memastikan PBR dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan holistik, beliau berkata pihak kementerian akan memastikan semua penerima bantuan mempunyai tapak untuk membina rumah tersebut.

"Penyediaan tapak adalah sangat penting ... kami tidak mahu ada masalah yang timbul apabila rumah itu siap kelak, kerana tapak yang telah dibina rumah itu adalah milik orang lain.

"Oleh itu kami minta kerajaan negeri memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah tapak agar perancangan program itu dapat dilaksanakan dangan baik dan lancar," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shafie menyampaikan sumbangan berupa makanan dan wang tunai kepada 71 keluarga yang terlibat dalam kebakaraan di Kampung Sentosa Hill Top, Tawau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, 9 Mac lepas itu, sebanyak 58 buah rumah musnah dalam kebakaran tersebut.