Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

RM20.3 juta naik taraf jalan FT1157 berhampiran Felda Nenering - Ahmad Maslan

Bernama 27/10/2025 | 05:30 MYT
Ahmad Maslan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM20.33 juta bagi menaik taraf Jalan Persekutuan FT1157 berhampiran Felda Nenering, Pengkalan Hulu di Gerik, Perak di bawah dana khas Kementerian Kewangan untuk kawasan Felda.


Ringkasan AI
  • Kerajaan peruntuk RM20.33 juta untuk menaik taraf Jalan Persekutuan FT1157 berhampiran Felda Nenering, Gerik, Perak, bagi memperkukuh akses sempadan dan penempatan Felda.
  • Lampu jalan solar tambahan dicadangkan bagi laluan berisiko jenayah rentas sempadan, dengan anggaran kos RM300,000 pada tahun 2026.
  • KKR dan MKN laksana projek keselamatan sempadan, termasuk pembinaan tembok keselamatan bernilai RM1.5 bilion dan naik taraf infrastruktur di lokasi strategik seluruh negara.


Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata laluan itu kini siap diturap sepenuhnya, sekali gus memperkukuh akses penduduk di kawasan sempadan dan penempatan Felda.

"FT1157 itu ia berhampiran Felda Nenering di Pengkalan Hulu dalam kawasan Gerik. Kita telah peruntukkan RM20.336 juta dan telah siap dilaksanakan...jalan itu dah warna hitam semuanya, bererti dah diturap semula," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai peruntukan khas serta projek lain oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan sempadan.

Ahmad berkata antara projek lain yang dilaksanakan termasuk menaik taraf jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok kepada empat lorong, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam serta jalan Persekutuan FR21 dari Serian ke Tebedu hingga ke sempadan Indonesia.

"Yang terakhir, kita juga membina jalan baharu dari Kalabakan ke sempadan Malaysia-Indonesia yang dipanggil Simanggaris," katanya.

Ketika menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai status Bajet 2026 bagi pemasangan lampu jalan di Jalan Persekutuan FT1157 di sempadan Malaysia-Thailand yang pernah mencetuskan insiden jenayah rentas sempadan, Ahmad berkata kementeriannya akan meneliti cadangan memasang beberapa lampu tambahan di laluan berisiko itu.

"Kita akan pertimbangkan pemasangan tambahan 30 lampu solar pada 2026 dengan anggaran kos RM300,000 tertakluk kepada kelulusan bajet," katanya sambil menambah bahawa kerja pembaikan lampu sedia ada bernilai RM150,000 telah siap pada 31 Jun lepas, melibatkan 35 tiang di sepanjang jalan sejauh 23 kilometer.

Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya melalui program menaik taraf infrastruktur termasuk pemasangan lampu di lokasi berisiko seperti persimpangan, selekoh dan jambatan.

Beliau berkata sebanyak 50 lokasi di seluruh negara telah dilaksanakan dengan kos RM5.5 juta, manakala RM24.95 juta diperuntukkan bagi 2025 untuk 258 lokasi tambahan termasuk 26 di Perak berjumlah RM2.6 juta.

Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir mengenai keperluan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) kebangsaan bagi kemudahan jalan sempadan, Ahmad berkata laluan itu terbahagi dua kategori iaitu di bawah KKR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui program Keselamatan dan Pembangunan Sempadan (KESBAN).

Beliau berkata jalan di bawah MKN melibatkan pelaksanaan projek keselamatan fizikal termasuk pembinaan tembok keselamatan bernilai RM1.5 bilion di beberapa kawasan sempadan antaranya Tumpat, Tanah Merah, dan Padang Besar.

-- BERNAMA




#menaik taraf Jalan Persekutuan #Felda Nenering #Ahmad Maslan #Dewan Rakyat