ISKANDAR PUTERI: Johor menerima peruntukan RM30.3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek menangani bencana khususnya banjir akibat kesan perubahan iklim global.

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata peruntukan itu melibatkan projek pembangunan yang tersenarai sebagai keutamaan negeri di bawah Rolling Plan kelima (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Projek itu melibatkan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Skudai; Pelan Induk Saliran Mesra Alam Daerah Johor Bahru; Projek Saliran Mesra Alam, Pekan Bakri, Muar; Projek Pengawalan Hakisan Pantai, Persisiran Pantai Darat, Mersing; serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Maharani, Bandar Pekan Nenas dan Bandar Batu Pahat.

"Selain itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor yang mengumpulkan pelbagai agensi berkaitan untuk membincangkan isu mengenai perubahan iklim termasuk isu banjir," kata Ling (BN-Yong Peng).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) mengenai persediaan kerajaan bagi menghadapi pelbagai bencana khususnya banjir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerajaan negeri akan membina 500 unit kediaman Rumah Kasih Johor (RKJ) menjelang tahun 2026 untuk membantu golongan miskin tegar, asnaf dan golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

Menurut beliau peruntukan bagi pembinaan RKJ yang dijual pada harga antara RM75,000 hingga RM85,000 mengikut saiz dan keluasan itu melibatkan RM56.5 juta.

Berhubung pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), beliau berkata Johor merupakan negeri yang mencatat jumlah penawaran tertinggi di bawah pinjaman Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

"Sejak 2021 hingga kini, sebanyak 5,147 tawaran pinjaman dikeluarkan kepada pembeli kediaman mampu milik dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM889.4 juta. Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga 120 peratus dengan kadar maksimum pembiayaan sehingga RM300,000," katanya.

Mohd Jafni (BN-Bukit Permai) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sahrihan Jani (BN-Gambir) yang ingin tahu peranan kerajaan negeri dalam pembinaan RKJ bagi golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.

-- BERNAMA