KUALA LUMPUR: Kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan bagi kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab.

"Dengan penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih, saya percaya moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan semasa melakukan operasi dan penugasan yang telah ditetapkan," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Jelasnya, walaupun ia melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, namun kerajaan akan tetap menimbangkan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkan pasukan polis.

Muhyiddin pada masa sama berkata, kerajaan turut bersetuju memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), tidak kira sama ada kepada penerima pingat yang sedang bertugas atau sudah bersara daripada perkhidmatan.

"Pemberian imbuhan ini akan dimanfaatkan oleh lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, proses perbincangan berkenaan perolehan kamera badan serta peralatan renjatan elektrik kini di peringkat akhir.

"Dalam usaha memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan, kerajaan telah meluluskan perolehan aset seperti kereta peronda, kereta perisai, bot, dron, baju kalis peluru dan tambahan kamera pengawasan litar tertutup.

"Perbincangan juga sedang diperingkat akhir untuk perolehan kamera badan dan senjata renjatan elektrik di mana perolehan ini adalah seiring dengan kemajuan terkini dalam kepolisan moden," katanya.

Tahun lalu, PDRM memaklumkan sudah memohon 1,300 kamera badan dan 1,000 senjata baharu tidak membawa maut atau 'non lethal weapon' menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, pada tahun ini.