KUANTAN: Sejumlah RM32.2 juta diperuntuk Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi menyelesaikan masalah air di tujuh kawasan tumpuan di Lipis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha menambah baik bekalan air di kawasan terbabit telah dan sedang dijalankan demi kesejahteraan rakyat.

“Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah menaiktaraf sistem agihan air di Loji Rawatan Air (LRA) Jelai dengan kos pembinaan RM15.8 juta yang bakal memberi impak positif kepada 6,378 akaun.

“Fasa pertama telahpun selesai dilaksanakan diikuti fasa kedua projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada September ini. Fasa pertama telah memberi impak di kawasan 'hotspot' seperti di Sungai Kerpan, Cheneras Jaya, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lipis, Flat Tempoyang, Kuarters Kerajaan Batu 3, Jeram Bungor dan Kuala Lanar.

“Kapasiti Loji Jelai ini telah dinaik taraf dan  dapat menghasilkan dari 500 meter padu sejam kepada 1000 meter padu sejam air terawat. Kadar kenaikan kapasiti 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dan taklimat penambahbaikan bekalan air daerah Lipis yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif PAIP,  Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim.

Wan Rosdy yang juga Adun Jelai turut mezahirkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah memperuntukkan RM111 juta bagi membekalkan liputan air baharu di kawasan luar bandar di daerah Lipis.

“Perancangan untuk mengatasi masalah air di daerah lain juga kini sedang  diperincikan dalam masa terdekat. Saya yakin segala perancangan yang diatur ini dapat memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Saiful Zaini berkata,  sekiranya kesemua projek telah disiapkan sepenuhnya, ia dapat menyelesaikan masalah kira-kira 11,000 akaun pengguna.

“Kesemua projek ini melibatkan 11,154 akaun pengguna dan daripada daripada jumlah itu, 92 akaun di Rumah Murah Sungai Kerpan telah pun selesai.

“Bakinya pula melibatkan LRA Benta iaitu Pekan Benta, Jerkoh, Budu, Kemahang, Tanjung Besar, Jeransang, Batu 13, dan Taman Jelai. Ia juga melibatkan pemegang akaun dari LRA Benta ke Kampung Tersusun Jerkoh sepanjang lima kilometer.

“Turut terlibat  LRA Kechau; LRA Merapoh; LRA Jelai; dan Rumah Pam Kampung Bukit  Kota,” katanya.