KOTA KINABALU:Seramai 116,248 penerima yang berdaftar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menerima manfaat dari peruntukan tambahan terbaharu yang diumumkan kerajaan negeri berjumlah RM160 juta.

Menterinya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata penerima-penerima terbabit dijangka memanfaatkan peruntukan sejumlah RM34,874,400 yang disalur ke kementerian itu.

"Peruntukan itu adalah bagi membantu mengurangkan impak negatif COVID-19 ke atas industri pertanian di Sabah.

"Ia akan memberi manfaat kepada 116,248 penerima yang berdaftar di bawah kementerian di pelbagai segmen industri pertanian di Sabah.

"Setiap penerima akan mendapat bantuan secara one-off sebanyak RM300 dan pembayaran akan dikreditkan secara langsung ke dalam akaun penerima," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut Jeffrey permohonan baharu boleh dibuat orang ramai yang tiada dalam senarai sedia ada.

"Senarai ini bukanlah menyeluruh dan bagi mereka yang tercicir, permohonan bantuan akan tetap dipertimbangkan sekiranya mereka berdaftar dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang berkenaan.

"Dana ini adalah sebahagian daripada jumlah bantuan kerajaan untuk membantu golongan B40 yang juga merangkumi sektor-sektor lain termasuk pemandu teksi, bas dan lori dan pemain industri pelancongan," katanya.

Peruntukan disalurkan melalui agensi dibawah KPIM seperti berikut:
  1. Jabatan Pertanian (petani) - 32,836 penerima dengan peruntukan sejumlah RM9,850,800.
  2. Perikanan (nelayan) - 10,669 penerima dengan peruntukan RM3,200,700.
  3. MPOB (pekebun sawit) - 16,205 penerima dengan peruntukan RM4,861,500.
  4. Pekebun kecil koko - 1,160 penerima dengan jumlah peruntukan RM348,000.
  5. Lembaga Industri Getah Sabah - 48,756 penerima dengan peruntukan RM14,626,800.
  6. Veteriner (penternak) - 2,069 penerima dengan peruntukan RM620,700.
  7. Koperasi Pembangunan Desa - 663 penerima dengan peruntukan RM198,900.
  8. Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah - 3,890 penerima dengan peruntukan RM1,167,000.