Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

RM40 juta untuk Rakan Muda dapat perkukuh pembangunan sahsiah belia - MBM

Bernama 11/10/2025 | 14:30 MYT
Mohd Izzat berkata, MBM menghargai peningkatan besar peruntukan dalam bidang TVET yang menjadi teras utama pembangunan tenaga muda negara. - Gambar fail/Facebook Izzat Afifi Abdul Hamid
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM40 juta bagi Program Rakan Muda dalam Belanjawan 2026 yang meningkat RM15 juta berbanding tahun sebelumnya, disifatkan amat signifikan untuk memperkukuh pembangunan sahsiah dan jati diri belia melalui pendekatan berasaskan komuniti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata pihaknya berharap sebahagian daripada peruntukan itu dapat disalurkan terus kepada pertubuhan belia di seluruh negara sebagai wahana membentuk jati diri, integriti dan daya juang anak muda khususnya di luar bandar dan komuniti tercicir.

Selain itu, beliau berkata MBM juga mengalu-alukan peruntukan RM250 juta bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026 sebagai usaha membina jati diri, semangat kenegaraan dan budaya kesukarelawanan dalam kalangan anak muda.

"MBM menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang memperlihatkan komitmen jelas kerajaan terhadap pembangunan generasi muda dan agenda pemerkasaan belia negara," katanya dalam kenyataan.

Mohd Izzat Afifi berkata mereka juga menyambut baik inisiatif Program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta yang menyasarkan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor; jentera; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); digital serta teknologi.

Selain itu, MBM menghargai peningkatan besar peruntukan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi teras utama pembangunan tenaga muda negara.

"Peningkatan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk melahirkan tenaga belia berkemahiran tinggi selaras keperluan pasaran kerja baharu, sekali gus mendukung agenda transformasi ekonomi nasional," katanya.

Mengenai penetapan had umur belia kepada 15 hingga 30 tahun bermula 2026, Mohd Izzat Afifi berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memastikan segala inisiatif pembangunan belia sedia ada tidak terjejas serta terus inklusif kepada kelompok belia muda dewasa.

Sehubungan itu, MBM merayu inisiatif pembiayaan RM150 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp diperluaskan kepada kelompok berusia 31 hingga 40 tahun yang masih aktif serta produktif dalam kegiatan sosial dan ekonomi negara.

"MBM kekal komited untuk terus berdialog dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan usaha memacu ekonomi nasional serta memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif, progresif dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA



#semikonduktor #TVET #Program Latihan Khidmat Negara #Belanjawan 2026