MALAYSIA

RM42 bilion hutang 1MDB telah dibayar - PM Anwar

Bernama 02/12/2025 | 07:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum selesai sepenuhnya dan jumlah obligasi kewangan 1MDB melebihi RM50 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Hutang 1MDB masih belum selesai sepenuhnya, dengan jumlah obligasi kewangan melebihi RM50 bilion menurut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Sebanyak RM42 bilion telah dibayar sejak 2018 untuk melunaskan hutang tersebut, namun hanya RM29 bilion dapat dibiayai melalui dana hasil pemulihan aset 1MDB.
  • Kekurangan dana menyebabkan baki obligasi hutang 1MDB sebanyak RM13 bilion perlu dilunaskan oleh kerajaan, menurut Anwar.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sejak 2018 sehingga sekarang, sebanyak RM42 bilion telahdibayar untuk melunaskan hutang tersebut termasuk prinsipal dan faedah serta komitmen 1MDB.

"Hutang pasaran 1MDB yang diwarisi sejak 2018 berjumlah RM34 bilion dari segi nilai prinsipal dan melibatkan komitmen faedah kira-kira RM17 bilion.

"Ini bermakna jumlah obligasi kewangan 1MDB lebih RM50 bilion," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata daripada RM42 bilion itu, hanya RM29 bilion dapat dibiayai melalui dana hasil pemulihan aset 1MDB.

"Ini jelas menunjukkan usaha pemulihan aset tidak mencukupi untuk menampung komitmen pembayaran balik liabiliti 1MDB," kata beliau.

Beliau berkata baki obligasi hutang 1MDB perlu melibatkan dana kerajaan berjumlah RM13 bilion.

"Ini satu kerugian besar kepada negara. Hutang 1MDB belum selesai sepenuhnya.

"Masih terdapat baki obligasi hutang 1MDB sebanyak RM9 bilion, iaitu bayaran prinsipal dan faedah Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) sehingga 2039 merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4 bilion," kata beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

-- BERNAMA




#Hutang 1MDB #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Perdana Menteri #terkini