BENTONG: Sebanyak RM44 juta diperuntukan kepada kerajaan negeri Pahang menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membina rumah baharu dan baik pulih rumah yang rosak akibat dilanda banjir hujung tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja itu melibatkan jumlah keseluruhan RM44.054 juta, termasuk sumbangan daripada Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain peruntukan kerajaan negeri sendiri.

Menurutnya, melalui peruntukan ini, sebanyak 148 buah rumah akan dibina baharu dengan harga setiap unit RM75,000 (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang), manakala 3,948 unit rumah akan dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

"Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa telah bermula seawal Januari 2022 dan sebahagiannya masih lagi berjalan. Dijangka kesemuanya akan selesai selewat-lewatnya Ogos 2022.

"Manakala kerja-kerja bina baharu 148 buah rumah akan bermula bulan ini (Jun 2022) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September 2022," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.

Beliau turut menyerahkan surat lantikan kepada kontraktor-kontraktor dari Bentong dan Raub.

Wan Rosdy berkata, pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baik pulih rumah-rumah ini iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.

Katanya, kerajaan negeri juga telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri Pahang buat masa ini bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut manakala 13 kontraktor lagi akan dilantik dalam masa terdekat.

"Pemantauan pelaksanaan akan terus dilaksanakan sehingga kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah disiapkan dengan sempurna.

"Saya harap dengan bantuan ini mangsa-mangsa banjir dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana yang melanda," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan.