MALAYSIA
RM497.54 juta untuk pembangunan modal insan Sabah - Hajiji

Hajiji berkata, sejak 2021 hingga 2024, sebanyak RM848.26 juta telah diperuntukkan melalui empat saluran utama pendidikan yang memberi manfaat kepada hampir 245,953 penerima. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Sabah memperuntukkan sebanyak RM497.54 juta tahun ini bagi memperkasakan agenda pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan generasi yang kompeten, berinovasi dan berintegriti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri terus meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam menjayakan agenda ekonomi negeri khususnya dalam meneroka potensi besar sektor ekonomi biru yang semakin berkembang.
"Dunia sudah berubah, dan kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada sistem lama. Justeru, modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi amat diperlukan untuk memacu pembangunan negeri," katanya dalam ucapan perasmian Sabah Blue Economy Skillfest 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.Hajiji berkata, menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri merangka dasar-dasar pembangunan yang inklusif dan mampan dengan memberi keutamaan kepada peningkatan kapasiti rakyat dalam menghadapi era ekonomi baharu.
Beliau berkata, sejak 2021 hingga 2024, sebanyak RM848.26 juta telah diperuntukkan melalui empat saluran utama pendidikan yang memberi manfaat kepada hampir 245,953 penerima.
Peruntukan tersebut merangkumi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (RM227.1 juta), Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (RM324.1 juta), Bantuan Pendidikan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM164.14 juta) serta bantuan dan pinjaman Yayasan Sabah (RM132.92 juta).
Menurut beliau, program Skillfest merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh latihan kemahiran dalam sektor ekonomi biru merangkumi industri seperti marikultur, perikanan, tenaga laut, pelancongan marin serta penyelidikan dan pembangunan teknologi lautan.
"Sabah kaya dengan sumber laut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat bersedia memanfaatkan potensi ini secara lestari dan berilmu," katanya.
Hajiji berkata, kerjasama strategik antara HRD Corporation dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dalam penganjuran program ini wajar dipuji kerana menyokong matlamat kerajaan untuk memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat.
Program ini juga merupakan kesinambungan kejayaan Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang telah menarik perhatian global dan meletakkan Sabah sebagai pemain utama dalam ekonomi biru serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami