MALAYSIA

RM52.7 juta diagih kepada hampir 47,000 penerima STR tanpa akaun bank

Bernama 26/07/2025 | 13:00 MYT
GAMBAR FAIL: Sebahagian penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas selepas program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA. - BERNAMA
SEMPORNA: Kementerian Kewangan (MOF) mengagihkan RM52.7 juta kepada 46,568 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang tidak memiliki akaun bank, dalam siri program penunaian STR di seluruh negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata pengagihan itu, membabitkan 31 lokasi penunaian STR di pedalaman Sabah membabitkan 23,105 penerima, manakala program sama diadakan di 25 lokasi di Sarawak melibatkan 20,775 penerima.

"Di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia pula program ini diadakan khusus untuk masyarakat orang asli di empat lokasi di Gua Musang, Kelantan, Jerantut dan Lipis di Pahang serta Hulu Perak, Perak membabitkan 2,688 penerima.

"Pada hari ini seramai 3,300 penerima di Pulau Bum Bum serta Pulau Mabul di sini, terbabit dengan program penunaian STR," katanya selepas meninjau pelaksanaan program penunaian STR di Pulau Bum Bum, di sini hari ini.

Zamzuri berkata selain tidak mempunyai akaun bank, hampir 47,000 penerima STR yang bermastautin di kawasan pedalaman itu juga berdepan kesukaran untuk menerima STR secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), kerana jarak jauh dan keperluan menaiki bot.

Sementara itu seorang suri rumah Atikah Noor Najib, 34, dari Kampung Balimbang menyifatkan pendekatan kerajaan melalui Kementerian Kewangan yang melaksanakan program penunaian STR di Pulau Bum Bum, sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap penduduk di luar bandar.

"Kalau sebelum ini saya terima baucar STR dan kemudian perlu ke BSN yang terletak di tanah besar Semporna, tambang bot RM2 sehala dan kalau tambang bas ke bank dalam RM3, jadi pulang balik ke pulau RM10, ini kalau pergi seorang dan kebetulan rumah saya dekat dengan jeti.

"Program penunaian ini cukup membantu penduduk pulau macam kami, memudahkan urusan," katanya sambil menambah duit STR itu digunakan untuk membeli barang keperluan anak dan adik yang masih bersekolah.

Seorang penduduk Kampung Lok Butun Kamis Bata, 62, berkata program penunaian STR di pulau bukti kerajaan pada hari ini lebih perhatian kepada masalah dihadapi penduduk pedalaman, berbanding sebelum ini beliau terpaksa mengeluarkan belanja ke tanah besar untuk menunaikan baucar.

"Dari kampung pakcik, di kampung sebelah sana itu, tambang van ke jeti RM3, kemudian naik bot di Jeti Balimbang RM2, sampai di tanah besar tambang lagi ke bank, pada saya inisiatif kerajaan hari ini sangat dekat di hati rakyat," katanya.

Sementara itu bekas anggota tentera Jamal Lumaadan, 48, yang menetap di Kampung Hampalan Darat Tengah berkata STR umpama talian hayat untuk keluarga dan program penunaian STR yang diadakan pada hari ini, kesinambungan bantuan memudahkan penduduk di Pulau Bum Bum.

"Hari ini saya terima STR RM1,000, duit ini untuk beli barang keperluan di rumah dan untuk anak-anak bersekolah, apatah lagi ketika ini saya tidak dapat bekerja kerana masalah tulang kaki retak. Kalau tiada program hari ini, akan sukarkan saya bergerak jauh, menaiki bot lagi dalam keadaan saya memakai tongkat. Terima kasih kerajaan," katanya.

Program penunaian STR di kawasan pedalaman diselaraskan Kementerian Kewangan menerusi Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak, selain disokong Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), BSN, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan pejabat daerah.

Perkhidmatan program penunaian STR di Pulau Bum Bum bermula seawal 7 pagi dengan pembukaan dua kaunter utama iaitu kaunter LHDN bagi semakan senarai penerima serta kaunter BSN untuk urusan penunaian STR, selain itu terdapat program jualan rahmah.

-- BERNAMA




#Kementerian Kewangan #Sumbangan Tunai Rahmah #penerima STR tanpa akaun bank #Zamzuri Abdul Aziz