MALAYSIA

RM5.5 juta laksana saringan kanser serviks, sasar 32,000 wanita tahun ini

Bernama 29/01/2026 | 09:59 MYT
Rohani (tengah) dalam acara perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat Batalion 3 Pasukan Gerakan Am di Bidor di sini hari ini. - Bernama
TAPAH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyalurkan RM5.5 juta kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melaksanakan saringan kanser serviks (HPV DNA) pada tahun ini.

Pengerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya menyasarkan 32,000 orang wanita dapat melakukan ujian saringan itu sebagai langkah pengesanan awal kanser serviks agar tindakan pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan.

"Saya menyeru kepada kaum wanita supaya buang segala sifat malu dan takut serta tidak lagi bertangguh untuk menjalani ujian HPV DNA dengan segera kerana kanser serviks apabila dapat kesan awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat Batalion 3 Pasukan Gerakan Am di Bidor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rohani berkata LPPKN turut melantik Duta Etnik dalam kalangan pelbagai kaum termasuk Orang Asli bagi mempromosikan kesedaran mengenai saringan kanser serviks, sekali gus dilihat dapat meningkatkan jumlah wanita menjalani saringan berkenaan.

"Kami latih duta yang dilantik itu dengan menyalurkan pelbagai fakta mengenai saringan kanser serviks dan cara untuk spesimen itu diambil, kami ajar semuanya supaya mudah bagi duta yang dilantik itu menerangkan satu persatu kepada golongan sasar.

"Dengan adanya duta etnik, mereka boleh bercakap dalam dialek masing-masing seperti orang Cina, India serta Orang Asli, dan ia lebih memudahkan rakan-rakan atau penduduk kampung, khususnya memahami mengenai kepentingan saringan kanser serviks," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata sebanyak 198,001 orang wanita direkodkan telah menjalani ujian HPV DNA sejak 2019 sehingga tahun lepas dan sebanyak 15,315 wanita disahkan positif HPV.

"Daripada jumlah itu, 210 orang daripada wanita itu didiagnos prakanser dan 24 orang wanita pula disahkan positif kanser.

-- BERNAMA


#LPPKN #ujian sasringan #kanser serviks #wanita #pencegahan #rawatan #kesihatan