[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

RM62.76 juta untuk 18 projek prasarana di Tawau - KPKT

Bernama 08/10/2025 | 14:15 MYT
Ng selepas meninjau projek landskap Taman Awam Pelita sempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT di Tawau hari ini. - Gambar Facebook KPKT Malaysia
TAWAU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM62.76 juta untuk pelaksanaan 18 projek prasarana awam di sini yang memberikan manfaat kepada lebih 200,000 penduduk.

Menteri berkaitan Nga Kor Ming berkata projek yang berinisiatifkan kesejahteraan bandar itu dijalankan sepanjang tahun ini dengan pengawasan agensi di bawah KPKT.

"Antara projek itu...RM43 juta untuk pusat tapak pelupusan sanitari di Bukit Gemok, ini adalah penting untuk memastikan Tawau sentiasa bersih, ceria, hijau, membangun sebagai satu destinasi pelancongan utama Negeri di Bawah Bayu ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek landskap Taman Awam Pelita sempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT di sini hari ini.

Beliau berkata projek lain termasuk pembangunan dan pengindahan landskap bandar Tawau, pembinaan balai dan kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau di Merotai serta naik taraf pasar awam.

Katanya sebelum ini pelbagai projek diluluskan kementerian di Sabah seperti pembinaan Taman Botani Kota Kinabalu bernilai RM20 juta serta pembinaan tempat letak kereta dua tingkat di Foh Sang, Kota Kinabalu dengan peruntukan RM30 juta.

"Sandakan juga menerima RM35 juta untuk tapak pelupusan sanitari," katanya dan menambah KPKT diiktiraf sebagai kementerian berprestasi paling tinggi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kerana berjaya melaksanakan 11,807 projek prasarana awam dalam tempoh 2023 dan 2024.

Sementara itu berhubung isu kebersihan di Semporna, Nga meminta agar Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjalankan tanggungjawab memastikan Semporna tidak menjadi bandar paling kotor di Asia.

"Tahun depan ialah Tahun Melawat Malaysia, maka dengan segala hormatnya, saya nak minta jasa baiklah Ahli Parlimen Semporna ini kena rajin turun padang, difahamkan beliau sudah di sana lebih 30 tahun, menjadi tanggungjawabnya untuk memantau kerja-kerja pembersihan," katanya.

Sebelum ini tular mengenai isu kebersihan di Semporna menerusi beberapa akaun media sosial pelancong asing.

-- BERNAMA



#KPKT #media sosial #projek prasarana #pasar awam