KUALA LUMPUR: Sebanyak RM4.66 bilion diperuntukkan bagi negeri Sabah manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak dengan hasrat melihat kemakmuran negara dikongsi bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan peruntukan itu sedang disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

"Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

"Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama," katanya ketika menyampaikan Perutusan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Perdana Menteri menjelaskan sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion, dan Sarawak RM4.09 bilion.

Beliau menjelaskan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

"Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. No one will be left behind, everyone will have access to the digital world, and everyone must be connected.

"Perkhidmatan ini akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah, dan 2.8 juta penduduk di Sarawak. Semoga selepas ini, kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia, yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah, untuk mencari capaian internet pada masa akan datang," katanya lagi.

Ismail Sabri menjelaskan tumpuan kerajaan pada ketika ini adalah untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik COVID-19.