MALAYSIA

RM97.3 juta penalti dikenakan dalam kes tipuan bida - Menteri KPDN

Astro Awani 30/10/2025 | 09:30 MYT
Armizan berkata, MyCC telah mengendalikan kes tipuan bida melibatkan 26 syarikat dengan nilai perolehan RM540.72 juta. - Unit Koperasi Korporat, KPDN
PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengendalikan kes tipuan bida (bid rigging) melibatkan 26 syarikat dengan nilai perolehan RM540.72 juta, dan penalti yang dikenakan mencecah RM97.3 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Itu rekod semenjak MyCC ditubuhkan pada 2011.

“Itu rekod semenjak MyCC ditubuhkan dalam kes tipuan bida sebelum ini. Setakat ini pula, kes yang masih berjalan dan dalam siasatan ada 14 kes, melibatkan 563 syarikat dan nilai tender RM2.7 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Persidangan MyCC Competition Summit 2025 yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre, hari ini.

Armizan turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan yang disalurkan ke kementeriannya untuk meningkatkan prestasi penguatkuasaan membanteras kes tipuan bida.

“Sebahagian bukan diberikan kepada penguatkuasa KPDN (sahaja) tetapi untuk fokus meningkatkan kapasiti MyCC pada tahun hadapan,” katanya.

Pada masa sama, persidangan hari ini turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina (PCC) dan MyCC dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia).

Melalui kedua-dua MoU ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk kerjasama pertukaran maklumat, advokasi, program latihan, penyelidikan, serta perkongsian pengalaman dan amalan terbaik

Persidangan kali ini menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada para pembuat dasar, pengawal selia, ahli akademik, pakar industri dari dalam dan luar negara.

Para panel jemputan pada persidangan kali ini terdiri daripada sembilan wakil pihak berkuasa persaingan antarabangsa berprofil tinggi, termasuk Pihak Berkuasa Persaingan Turkiye (TCA), Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC), Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Sementara itu, panel pakar tempatan dibarisi wakil daripada Kementerian Kewangan, PETRONAS, Khazanah Nasional Berhad, Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia, dan Bank Negara Malaysia. Persidangan memberi tumpuan kepada peranan tadbir urus dalam memacu persaingan sihat serta memastikan integriti pasaran yang mampan.

Dua fokus utama sesi perkongsian dan diskusi adalah membanteras kartel tipuan bida serta menambah baik tadbir urus dalam transaksi percantuman melalui rejim kawalan percantuman.

Selain meneruskan agenda menangani kartel atau pakatan dalam penentuan harga, pengeluaran dan pasaran, MyCC akan meningkatkan penguatkuasaan melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam perolehan awam.


#penalti #MyCC #tipuan bida #tender