KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memberi tumpuan kepada memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang, agar jurang pembangunan dengan Semenanjung dapat dikurangkan.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, keutamaan akan diberikan kepada lima bidang tumpuan yang telah digariskan.

Ia termasuk – penyediaan infrastruktur; mengoptimumkan potensi ekonomi; menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial; mempertingkat pembangunan inklusif; dan memperkukuhkan kerjasama antara Persekutuan dan negeri.

“Pelaksanaan langkah ini dijangka dapat mengurangkan jurang pembangunan sosioekonomi antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dalam RMK-12

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

Memantapkan Penyediaan Infrastruktur

Melalui RMK-12, Kerajaan akan memantapkan penyediaan infrastruktur dan ketersambungan bagi menyokong aktiviti ekonomi, dan menambah baik penyampaian perkhidmatan sosial, terutamanya di kawasan luar bandar.

Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap infrastruktur asas, termasuk jalan, bekalan air dan elektrik, selain memperluaskan lagi liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk.

“Di samping itu, infrastuktur baharu bagi perkhidmatan air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai, loji rawatan air, dan loji rawatan kumbahan akan dibina, manakala infrastruktur sedia ada akan ditambah baik.

“Bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), peruntukan akan disediakan di bawah Program Pengurangan NRW di Sabah dan Sarawak,” menurut dokumen itu lagi.

Bagi liputan jalur lebar di Sabah dan Sarawak pula, ia akan terus dipertingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), bertujuan bagi memperluas liputan perkhidmatan, serta menyediakan peluang digital yang saksama kepada penduduk.

Peluasan infrastruktur di bawah Jendela, memolehkan 100 peratus liputan jalur lebar di kawsan berpenduduk.

“Sehubungan itu, infrastruktur digital baharu di 382 tapak akan disediakan di Sabah, dan 636 di Sarawak.

“Sebanyak 781 points of presence (POP) pula akan disediakan di Sabah, dan 643 di Sarawak, bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan, dan kawasan komersial mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar,” menurut dokumen itu lagi.

Menambah Baik Sistem Bekalan Elektrik

Bagi menyelesaikan isu kekurangan penjanaan elektrik di pantai timur Sabah, Kerajaan akan membina loji janakuasa baharu, serta menaik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah.

Selain itu, projek talian penghantaran Southern Link akan dimulakan dengan kerja awalan dalam tempoh pelaksanaan RMK-12.

Manakala sistem bekalan elektrik di Sarawak pula akan terus diperkukuh dengan pelaksanaan projek hidroelektrik Baleh, berkapasiti 1,285 megawatt, yang dijangka siap pada tahun 2025.

Bagi memenuhi peningkatan permintaan, Sarawak bakal membina satu lagi talian penghantaran 500 kV, sebagai talian penghantaran utama kedua.

Di samping itu, Grid Utara akan dibina bagi meningkatkan Sistem Grid Negeri untuk meliputi seluruh negeri Sarawak.