KOTA BHARU: Pandemik COVID-19 menyebabkan hampir semua sektor ditutup sehingga menjejaskan mata pencarian banyak pihak.

Tidak terkecuali perniagaan batik dan bidang kesenian di Kelantan yang teruk terjejas sejak lebih setahun lalu.

Selepas menempuh tempoh yang sukar dan seiring dengan pembukaan secara fasa kesemua sektor, kalangan pengusaha dan peniaga batik serta kesenian di Kelantan mula menyusun strategi perniagaan bagi meneruskan kelangsungan.

Begitu pun, untuk kembali normal, sokongan daripada pelbagai pihak baik rakyat dan kerajaan diperlukan.

Menurut pengusaha batik, Nik Faiz Nik Mohamad Amin, kerajaan diharap dapat memberi subsidi kepada pengusaha batik bagi meringankan beban dihadapi mereka.

"Harapan saya untuk RMK-12 ini adalah supaya kerajaan melihat pasaran dan pemasaran industri batik di Malaysia.

"Semasa pandemik melanda keadaan kita agak teruk dan ramai pengusaha tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka sebagai pembuat batik.

"Kita harapkan kerajaan dapat bantu bagaimana cara kita boleh membesarkan pasaran kraf kita dan selain itu kalau boleh bagi subsidi kepada pengusaha batik ini," katanya.

Tidak terkecuali bagi penggiat seni dan kebudayaan Kelantan.

Kata penggiat seni budaya, Arjali, semenjak pementasan kebudayaan dan slot seni warisan tidak dapat dipertontonkan, mereka hilang punca pendapatan.

"Harapannya cukup besar untuk kami pengiat seni boleh kembali berkarya yang lama kami pendamkan semoga dalam RMK-12 ini industri seni persembahan di Malaysia disemarakkan dengan pelbagai ruang dan rangkaian supaya mengembangkan hasil karya dan jana pendapatan lebih baik setelah dua tahun dalam pandemik.

"Saya melihat banyak usaha kreatif yang boleh dijalankan membantu kami supaya kami dapat beraksi," katanya.

Justeru, pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diharap akan turut memberi perhatian kepada anak seni serta pengusaha batik.