KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyegerakan usaha menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperluaskan  liputan jaringan internet di seluruh negara bagi meringankan beban pelajar yang masih dalam proses pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut Ketua Kampung Parit Raja Batu Pahat Johor merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail Parit Raja, Majdan Jamain, inisiatif itu perlu disegerakan susulan situasi pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan internet.

"Saya mengharapkan agar kerajaan dapat melaksanakan Program JENDELA ini dengan segera dan secepat mungkin terutama di kawasan pendalaman yang melibatkan ramai masyarakat," kata Majdan.

Ini juga bagi memudahkan masyarakat pendalaman ini menggunakan khidmat  terutama sekali kepada mereka yang mempunyai anak yang sedang menjalani pembelajaran di rumah secara (PdPR). Itu adalah yang terbaik pada masa ini," tambahnya.

Beliau yang ditemu bual oleh Astro AWANI hari ini turut menyarankan agar Kerajaan menambah lagi pembinaan pencawang-pencawang telekomunikasi di kawasan pedalaman.

"Ini kerana tidak semua syarikat telekomunikasi didirikan di kawasan kampung dan pencawang juga tidak meliputi radius yang besar dan jarak antara radius liputan tersebut, ia juga sangat terhad dan tidak meluas sehinggakan ada sesetengah kampung di kawasan jalan besar pun tidak ada satu liputan yang baik," katanya.

Dalam masa sama, Majdan berkata peningkatan teknologi itu juga boleh memudahkan dan melancarkan pengurusan aktiviti harian masyarakat dalam menangani era digitalisasi.

Media sebelum ini melaporkan ada pelajar-pelajar di kawasan pedalaman yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan liputan internet untuk tujuan pembelajaran.