KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menyediakan pelan menyeluruh untuk pembangunan ekonomi, dan kemajuan untuk jangka masa panjang, ketika tumpuan diberikan kepada usaha menangani COVID-19, serta memulihkan ekonomi negara,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdiri atas visi itu, pelan pembangunan sosiekonomi negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-12, amat penting bagi menyediakan hala tuju strategik yang berkaitan.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, ia juga kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat bergerak melalui asas lebih kukuh.

“RMK12 mengetengahkan agenda perubahan dalam beberapa bidang utama, termasuk mengukuhkan asas dan daya tahan makroekonomi, menyegarkan kembali ekonomi untuk mengembalikan momentum pertumbuhan, melonjak pemacu pertumbuhan yang berpotensi untuk teknologi tinggi.

“Selain itu, ia juga menggariskan pelan membangunkan kemahiran masa hadapan, dan meneruskan kemampanan dalam pertumbuhan hijau, pelaburan dalam infrastruktur strategik, memperbaiki keterangkuman dan menangani ketidakseimbangan wilayah, meningkatkan taraf kesejahteraan dan perpaduan rakyat, dan memperkukuhkan sektor awam untuk memastikan sistem penyampaian yang lebih efektif,” katanya lagi.


[TERKINI] Laporan Bank Dunia | Mengemudi peringkat seterusnya pertumbuhan negara

Mustapa berkata, RMK12 bukan sahaja kesinambungan kepada pelan pembangunan Malaysia terdahulu, malah mampu memastikan negara mendepani cabaran dengan langkah yang lebih progresif, kreatif dan inovatif.

Jelas beliau, amat penting bagi Malaysia untuk melihat kembali bagaimana ia dapat melakukan perkara dengan lebih baik, termasuk mengambil kira pendekatan atau best practices daripada negara-negara lebih maju.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan amat menghargai pandangan dan cadangan Bank Dunia, dalam pembangunan polisi baharu, melalui pembentangan laporan Bank Dunia, Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development, yang disiarkan hari ini.

“Laporan Bank Dunia ini akan membantu kita meneroka langkah seterusnya, apa yang Malaysia perlu lakukan dalam usaha memaksimakan potensi, untuk mengubah status dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada tinggi, dan mengekalkan pertumbuhan selepas pandemik COVID-19,” katanya lagi.