[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

RMK13: Agensi tunggal perumahan negara bakal ditubuh, selaras penyediaan rumah mampu milik

Bernama 31/07/2025 | 07:59 MYT
Reformasi perumahan itu antara keutamaan dalam RMK13 untuk menangani kos sara hidup bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penubuhan agensi tunggal perumahan negara serta pengenalan model baharu skim sewa untuk beli (RTO) antara reformasi perumahan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Ringkasan AI
  • Penubuhan agensi tunggal perumahan dan pengenalan model baharu skim sewa untuk beli (RTO) bertujuan menyelaras penyediaan rumah mampu milik secara lebih cekap dan fleksibel, termasuk cadangan konsortium perumahan untuk pengurusan mampan.
  • Strategi perumahan RMK13 merangkumi penyediaan rumah berkualiti, peningkatan pemilikan rumah dan penambahbaikan kawal selia. Skim pembiayaan ditambah baik, skim sewaan jangka panjang untuk warga emas diperkenalkan, dan akta sewaan kediaman digubal bagi perlindungan penyewa dan pemilik.
  • Sasaran sejuta unit rumah mampu milik antara 20262035 digerakkan oleh kerajaan dan pemaju swasta. Program PPR dijenamakan semula kepada PRR, manakala penyelenggaraan perumahan berstrata memberi manfaat kepada lebih 150,000 penghuni. Pembiayaan RM17.86 bilion telah diluluskan kepada 76,664 peminjam.


Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, reformasi perumahan itu antara keutamaan dalam RMK13 untuk menangani kos sara hidup bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

Reformasi perumahan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penawaran perumahan berkualiti, berdaya huni dan terangkum, selain menambah baik akses pembiayaan serta memantapkan kecekapan kawal selia dan pengurusan perumahan.

"Agensi tunggal perumahan negara akan ditubuhkan melalui rasionalisasi semua agensi perumahan Persekutuan bagi merancang, menyelaras dan mengurus penyediaan rumah mampu milik

"Model baharu skim RTO akan diperkenalkan untuk menyediakan mekanisme sistem sewaan yang lebih fleksibel dan mampu milik. Cadangan penubuhan konsortium perumahan bagi memastikan pengurusan skim RTO dilaksanakan dengan lebih cekap dan mampan akan diteroka," menurut dokumen itu.



RMK13-PERUMAHAN 2 KUALA LUMPUR



Dokumen itu menggariskan tiga strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh RMK13 iaitu meningkatkan penyediaan perumahan berkualiti, berdaya huni dan terangkum; meningkatkan pemilikan rumah; dan memantapkan kecekapan kawal selia dan pengurusan perumahan.

"Penyediaan perumahan yang berkualiti kepada rakyat akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan dalam perancangan, penstrukturan semula tadbir urus dan pengukuhan kaedah pembinaan serta penggunaan sumber secara optimum," menurut dokumen itu.

Dokumen itu menyatakan skim pembiayaan rumah mampu milik sedia ada akan ditambah baik, termasuk dalam aspek penetapan kadar faedah secara berperingkat dan tempoh pembiayaan bagi membolehkan lebih ramai golongan sasar membeli rumah pertama.

"Skim pembiayaan atau sewaan jangka panjang kepada warga emas akan diperkenalkan sebagai persediaan menuju negara tua. Akta berkaitan sewaan kediaman juga akan diperkenalkan bagi memastikan perlindungan yang adil kepada penyewa dan pemilik rumah," menurut dokumen itu.

Dokumen itu turut memaklumkan penyediaan perumahan mampu milik kepada rakyat telah ditingkatkan dengan 179,769 unit rumah siap dibina hingga Mac 2025, iaitu 36 peratus daripada sasaran 500,000 unit rumah dalam tempoh RMK12.



RMK13-PERUMAHAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Sebanyak 312,591 unit rumah mampu milik lagi telah diluluskan dan dalam pelbagai peringkat pembinaan.

"Hingga 31 Dis 2024, pembiayaan berjumlah RM17.86 bilion diluluskan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan dan telah memberi manfaat kepada 76,664 peminjam," menurut dokumen itu.

Ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejuta unit rumah mampu milik akan dibina kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan sebanyak mungkin rakyat mendiami rumah selesa dan selamat.

Menurut dokumen itu, penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) telah dilaksanakan pada Ogos 2024 di bawah RMK12, bertujuan menambah baik reka bentuk, spesifikasi dan ciri-ciri perumahan supaya lebih berdaya huni, bersepadu, berkualiti serta mampan.

Program penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah, termasuk penggantian lif telah memberi faedah kepada 150,218 penghuni di 46,365 unit rumah.

-- BERNAMA

#RMK13 #perumahan rakyat #agensi perumahan tunggal #Anwar Ibrahim