MALAYSIA

RMK-13 cerminan rangka ketahanan nasional – Pakar

Astro Awani 02/07/2025 | 20:00 MYT
RMK-13 perlu mengangkat isu kontemporari seperti ekonomi digital, keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu, dan pemerkasaan buruh. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dijangka menjadi satu pelan jangka panjang yang berteraskan ketahanan nasional dan bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi seperti rancangan-rancangan terdahulu.

Profesor Emeritus Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Jamal Othman berkata, RMK-13 perlu mengangkat gagasan besar iaitu kelestarian, keterangkuman sosial, ketahanan ekonomi dan pembangunan teknologi tempatan selain bukan hanya menumpukan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.

“RMK bukan rancangan tahunan. Ia bukan bajet. Ia adalah dokumen strategik jangka panjang lima tahun yang menyerlahkan hala tuju dasar dan falsafah negara.

"Perancangan ini mencerminkan perubahan struktur, bukan sekadar pelan taktikal tahunan,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Tambahnya, isu kontemporari seperti ekonomi digital, keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu, dan pemerkasaan buruh perlu diberikan perhatian utama.

"Gagasan ini bukan sahaja relevan di peringkat antarabangsa, malah penting untuk kelangsungan ekonomi negara.

"Dalam aspek ekonomi digital misalnya, Malaysia telah menunjukkan kemajuan dengan penggunaan teknologi hingga ke peringkat perniagaan mikro seperti warung kecil.

"Namun, transformasi ini perlu lebih tersusun dan berpaksikan pembangunan kapasiti tempatan," jelasnya.

Jamal turut mempersoalkan pendekatan ekonomi lama yang terlalu bergantung pada pelaburan asing (FDI).

"Tumpuan harus beralih kepada pelaburan domestik, khususnya dalam pembangunan teknologi dan inovasi tempatan.

“Ketahanan sebenar bukan datang dari pertumbuhan yang tinggi semata-mata, tetapi dari keupayaan untuk terus kukuh apabila berlaku krisis global. RMK-13 mesti menjadikan daya tahan ini sebagai terasnya,” jelas beliau lagi.

Selain itu, dalam aspek nilai tambah kepada tenaga buruh, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju seperti Korea Selatan, di mana pekerja menerima lebih 60 peratus daripada jumlah nilai tambah ekonomi.

“Walaupun dalam sektor seperti sawit yang kita kuasai sepenuhnya, pulangan kepada tenaga kerja masih rendah. Kita mesti ada dasar yang jelas dan berani untuk memperbaikinya,” tegas Jamal.

Seterusnya daripada sudut fiskal, Jamal berpendapat kerajaan perlu melaksanakan reformasi cukai yang lebih menyeluruh.

"Kita tidak boleh menjadi satu-satunya negara yang masih teragak-agak melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Jika diperkenalkan, ia mesti diimbangi dengan sistem cukai pendapatan progresif supaya tidak menindas golongan berpendapatan rendah," terang Jamal.





#RMK-13 #ketahanan nasional #keterangkuman sosial #pelan ekonomi