MALAYSIA
RMK13 cerminkan sokongan padu Persekutuan kepada Sabah - Hajiji

Hajiji berkata, program pembangunan dan peruntukan di bawah RMK13 itu juga selaras dengan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Program pembangunan dan peruntukan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jelas mencerminkan sokongan berterusan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program pembangunan dan peruntukan di bawah RMK13 itu juga selaras dengan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"la juga jelas mencerminkan sokongan kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya menerusi kenyataan, di sini, pada Khamis malam.
Hajiji turut berpuas hati apabila beberapa projek berimpak tinggi yang dicadangkan kerajaan negeri dimasukkan dalam RMK13 antaranya perluasan utiliti kritikal seperti air dan kumbahan, jalan raya, tebatan banjir dan kesihatan serta hab Ekonomi Biru.Perdana Menteri Anwar ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, kerajaan memberi tumpuan khusus untuk memposisikan Sabah dan Sarawak sebagai hab tenaga mampan negara yang berdaya saing di peringkat serantau menerusi RMK13.
Menurut Anwar, pelaksanaan inisiatif seperti Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah secara tidak langsung akan memperkukuh infrastruktur tenaga di kedua-dua negeri berkenaan.
Di bawah RMK13, kerajaan Persekutuan juga akan memberi keutamaan kepada rangkaian jalan Sabah-Sarawak-Kalimantan yang sejajar dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.
Turut diberi penekanan ialah strategi pembasmian kemiskinan secara intensif serta sokongan terhadap transformasi digital dan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak, hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, teknologi berasaskan bio biru dan hab ekonomi biru serta memperluas kapasiti perkapalan dan menaik taraf infrastruktur bunkering di pelabuhan di Sabah.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami