[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

RMK13: Kerajaan akan lancar inisiatif pembiayaan baharu bagi perkukuh TVET - Anwar

Ernalisa Othman 31/07/2025 | 06:20 MYT
Inisiatif itu bertujuan memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan inisiatif pembiayaan baharu khusus bagi memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET, sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang seiring keperluan industri masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi.

Ia sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

PM Anwar berkata, penawaran program TVET turut diperluaskan kepada pelajar tahfiz, bagi melahirkan dan memastikan golongan itu yang bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi juga mempunyai kepakaran teknikal sebagai nilai tambah.

“Penawaran program TVET juga akan distrategikan semula dengan memberi penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) serta berasaskan teknologi termaju, bagi menyokong keperluan tenaga kerja industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Anwar berkata, antara sektor yang dikenal pasti memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi ialah Zon Ekonomi Khas Sungai Johor (JS-SEZ), Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Pelabuhan Perindustrian Hijau Gebeng-Kuantan (KIGIP), yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi negara ke arah industri berasaskan inovasi.

Langkah tersebut selari dengan sasaran kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan, sekaligus menyokong transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi Madani yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

TVET kini menjadi antara fokus utama dasar pembangunan negara, memandangkan 60 peratus peluang pekerjaan baharu di Malaysia menjelang 2030 yang dijangka memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional.

Namun, kadar penyertaan belia dalam bidang ini masih rendah berbanding keperluan industri.



#TVET MADANI #RMK13 #Anwar Ibrahim #skim pembiayaan