MALAYSIA
RMK13: Kerajaan negeri digesa utamakan bidang kritikal - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka, pada Khamis. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
MELAKA: Kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan kepada bidang kritikal yang berupaya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pembangunan negara secara menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan negeri fokus kepada bidang kritikal seperti industri elektrik dan elektronik untuk sumbangan kepada KDNK.
- Kerajaan negeri Melaka mengemukakan permohonan projek infrastruktur, kesihatan, perumahan, dan pelancongan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri.
- Anwar ingatkan penjawat awam untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bagi elak beban kewangan kepada kerajaan Persekutuan.
"Pimpinan pada peringkat negeri dan daerah juga perlu memahami fokus peringkat kementerian kerana tuntutan yang diangkat kepada kerajaan Persekutuan melangkaui keupayaan ekonomi lantaran kekangan dan sumber yang terhad perlu difahami," kata beliau menerusi kenyataan di sini selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka, di sini hari ini.
Mengulas mengenai mesyuarat khas berkenaan, Anwar berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membentangkan permohonan wish list daripada kerajaan negeri dalam mesyuarat berkenaan.
Anwar berkata permohonan itu termasuk infrastruktur jalan raya, projek tebatan banjir, pembinaan semula dan pembinaan baharu sekolah, pembinaan blok tambahan dan wad-wad di Hospital Jasin, projek perumahan rakyat serta menaik taraf muzium bagi sektor pelancongan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan kepada penjawat awam supaya step up dan speed up (bergerak lebih pantas dan berkesan) bagi memastikan pelaksanaan projek untuk rakyat lebih efektif dan tidak tertangguh sehingga membebankan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang berlangsung hari ini merupakan mesyuarat terakhir diadakan di negeri-negeri sebelum kerajaan Persekutuan melengkapkan usul-usul permohonan peruntukan projek RMK13 yang akan dihalusi bagi pengumuman Bajet Tahun 2026 pada Oktober ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami