MALAYSIA

RMK13: Kerajaan teliti had umur bersara wajib

Bernama 31/07/2025 | 15:05 MYT
Sebelum ini, sebuah firma perundingan pencen global mendedahkan had usia persaraan di Malaysia ketika ini iaitu 60 tahun adalah antara yang terendah bukan saja di peringkat global tetapi negara serantau yang lain. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan Malaysia kepada negara tua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata had umur persaraan wajib akan dikaji semula selaras dengan peralihan Malaysia kepada negara tua.
  • Kajian semula melibatkan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 dan Akta Pencen 1980 bagi menyesuaikan dasar pekerjaan dengan perubahan demografi.
  • Cadangan ini termasuk kemungkinan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun, namun memerlukan penelitian menyeluruh sebelum dilaksanakan.


Perkara itu terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini di bawah prakarsa kesembilan mengenai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini menyatakan bahawa antara strategi kerajaan dalam persediaan menuju negara tua ialah memperkukuh ekosistem perburuhan dengan menyemak semula akta dan peraturan berkaitan, agar lebih responsif kepada perubahan demografi.

"Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) akan disemak semula bagi memperkenalkan perundangan berkaitan penggajian semula selepas umur persaraan minimum.

"Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan wajib penjawat awam mengikut skim perkhidmatan akan dikaji bagi membolehkan semakan semula Akta Pencen 1980 (Akta 227) dilaksanakan," menurut dokumen itu.

Pada Mei lepas, Anwar berkata cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberikan perhatian dan pertimbangan namun memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu.

Sebelum ini, sebuah firma perundingan pencen global mendedahkan had usia persaraan di Malaysia ketika ini iaitu 60 tahun adalah antara yang terendah bukan saja di peringkat global tetapi negara serantau yang lain.

-- BERNAMA


#had umur #bersara wajib #RMK13 #Perdana Menteri Anwar Ibrahim