MALAYSIA

RMK13: Kesejahteraan rakyat pacu pembangunan inklusif

Madiha Abdullah 01/08/2025 | 15:08 MYT
RMK13 membawa pendekatan yang menekankan kesejahteraan rakyat dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan, pendidikan dan pembangunan. - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membawa pendekatan yang menekankan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan memberi tumpuan khusus kepada peningkatan pendapatan, pendidikan berkualiti dan pembangunan kemahiran.

Langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 disifatkan sebagai usaha strategik untuk merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan yang sebelum ini ketinggalan dari segi kemudahan dan peluang ekonomi.

Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME Malaysia), Dr Chin Chee Seong berkata, peningkatan gaji minimum itu adalah titik tolak kepada kehidupan yang lebih selesa bagi masyarakat luar bandar.

“Yang penting sekali ialah kerajaan telah umumkan gaji minimum itu. Gaji minimum sudah ditingkatkan kepada RM1,700 akan mengurangkan jurang antara pendapatan luar bandar dengan bandar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak bermakna jika rakyat tidak merasai manfaatnya secara langsung.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar isu ketidaksamaan infrastruktur dan pendidikan di luar bandar turut diberi perhatian.

“Tempat macam KL, Selangor, kita hidup selesa tanpa kesusahan. Tetapi di kawasan luar bandar seperti Kelantan, memang ada masalah infrastruktur. (Kualiti) pendidikan memang kurang… ini akan melebarkan jurang,” tambahnya.

Dalam konteks pendidikan pula, RMK13 menyasarkan bukan hanya akses kepada pendidikan, tetapi juga kualiti dan impaknya terhadap kehidupan rakyat.

Pensyarah UIA, Dr Syarifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein Alattas berkata, kerajaan perlu beralih daripada sekadar menyediakan akses kepada pendidikan kepada mengukur pengalaman dan hasil pembelajaran yang sebenar.

“Kalau satu kelas ada 45 atau 50 pelajar, itu memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan. Ini adalah isu struktur yang mesti diberi perhatian dalam pelaksanaan dasar akan datang,” katanya.

Beliau menggesa agar ukuran kualiti pendidikan diterjemahkan hingga ke peringkat sekolah dan tidak hanya bergantung pada penilaian akademik semata-mata.

Provost Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula mengingatkan bahawa walaupun perbelanjaan pendidikan tinggi, hasilnya masih belum menepati keperluan industri.

Daripada 17.5 juta tenaga kerja di negara ini, sekitar 70 peratus tidak memiliki kemahiran khusus.

“Majoriti tenaga kerja kita kini berada dalam kategori tidak mahir dan berisiko menjadi penganggur sekiranya tiada langkah diambil. Kita perlukan program latihan semula untuk kira-kira 12 juta pekerja sedia ada,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa latihan ini perlu fleksibel agar golongan pekerja tidak hilang pendapatan semasa mengikuti program peningkatan kemahiran.

Selari dengan cabaran itu, TVET dilihat sebagai kunci kepada kelangsungan tenaga kerja berkualiti dan penentu kejayaan aspirasi negara berpendapatan tinggi.

Dr Chin berkata, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi luar tanpa melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang sesuai untuk mengendalikannya.

“Negara kita belum ada teknologi yang kita bangunkan sendiri secara meluas. Kalau kita ada teknologi, kita mesti ada tenaga kerja yang boleh kendalikan teknologi itu,” jelasnya.

Beliau menyambut baik penubuhan Government Industrial TVET Corporation (GITC) yang menyatukan kerjasama antara kerajaan dan industri untuk memastikan latihan yang disediakan benar-benar menepati keperluan pasaran.

“Kita tak boleh hanya sambut pelabur asing dan harap mereka bawa masuk semuanya. Kita kena sediakan pekerja kita sendiri yang kompeten. Inilah yang TVET beri,” katanya lagi.




#RMK13 #gaji minimum #pendidikan #TVET #tenaga kerja