MALAYSIA

RMK13 mesti cerminkan pendekatan berani, terangkum demi daya tahan negara - Lee

Bernama 29/06/2025 | 21:30 MYT
Lee menyeru agar RMK13 mampu memupuk inovasi, menyokong PMKS, meningkatkan automasi serta menarik pelaburan hijau dan digital. - Foto fail/Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 Julai ini mesti mencerminkan pendekatan yang berani, inklusif dan memfokuskan masa depan bagi memastikan daya tahan serta kemampanan negara untuk jangka panjang.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata untuk itu, kerajaan digesa memberi pertimbangan serius terhadap bidang-bidang kritikal untuk dimasukkan dalam RMK13 termasuk pembaharuan penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial khususnya bagi golongan B40 serta komuniti rentan.
"Berikutan populasi menua dan peningkatan penyakit kronik, Malaysia memerlukan pembaharuan menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan termasuk perkhidmatan kesihatan mental, pengukuhan penjagaan kesihatan primer serta sokongan lebih besar kepada penjaga dan orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Lee berkata keutamaan kepada pendidikan berkualiti, celik digital, kemajuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta peningkatan kemahiran secara berterusan adalah penting untuk negara.
Beliau berkata ini di samping memperkasakan guru, memodenkan infrastruktur dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar untuk membangunkan modal insan serta menjamin peluang yang saksama kepada generasi akan datang.
Lee berkata ekonomi yang mampan dan bernilai tinggi mesti diutamakan untuk meninggalkan model tenaga kerja bergaji rendah dan berkemahiran rendah, sambil menyeru agar RMK13 mampu memupuk inovasi, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), meningkatkan automasi serta menarik pelaburan hijau dan digital sambil memastikan pembangunan serantau yang seimbang untuk mengelakkan jurang ekonomi.
Beliau berkata isu perumahan dan daya huni bandar pula perlu mengutamakan rumah mampu milik, selamat dan boleh diakses, dengan pembaharuan bandar yang adil serta inklusif untuk semua pihak berkepentingan sambil menggesa penambahbaikan segera terhadap pengangkutan awam, keselamatan pejalan kaki dan infrastruktur komuniti.
Lee berkata tadbir urus yang baik dan pembaharuan institusi mesti menjadi teras RMK13, dengan menuntut mekanisme yang lebih kukuh bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam.
"Memperkukuh unit integriti, meningkatkan penyertaan awam dalam proses penggubalan dasar dan mengurangkan birokrasi adalah kunci untuk mengembalikan kepercayaan rakyat," katanya.
Beliau berkata keselamatan awam dan pencegahan jenayah adalah asas kepada kemajuan negara dengan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam kepolisan komuniti, pencegahan jenayah siber, serta pemulihan penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia demi memastikan masyarakat yang selamat dan stabil.
Lee berkata transformasi digital dan usaha merapatkan jurang digital wajar dijadikan keutamaan nasional dengan keperluan untuk meningkatkan akses jalur lebar, terutamanya di kawasan luar bandar manakala RMK13 juga mesti pada masa yang sama mempromosikan celik digital dan pendidikan keselamatan siber bagi melengkapkan rakyat ke arah keperluan masa depan.
"RMK13 merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk Malaysia membina semula secara lebih baik dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar. Ia bukan sahaja perlu menangani kekurangan sedia ada, tetapi juga menjangkakan keperluan dan cabaran masa depan.
"Kami menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil untuk turut serta secara aktif dalam membentuk dan memantau hasil pelaksanaan rancangan pembangunan lima tahun itu," katanya.
Beliau berkata hanya melalui pendekatan menyeluruh seluruh negara, Malaysia yang lebih adil, selamat dan berdaya tahan dapat dibina.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #kesihatan mental #golongan B40 #keselamatan siber