MALAYSIA

RMK13 pacu Bursa Malaysia, perkukuh ekosistem pelaburan negara

Nabilah Khaleeda 04/08/2025 | 03:35 MYT
RMK13 dijangka memperkukuh kedudukan Bursa Malaysia melalui dasar strategik yang menyeluruh, berfasa dan berorientasikan pelaksanaan, sekali gus merangsang keyakinan pelabur dalam pasaran modal domestik.
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengukuhan Bursa Malaysia, menerusi pendekatan dasar jangka sederhana yang menyeluruh dan berorientasikan pelaksanaan.

Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun, sebaliknya merupakan pelan tindakan berfasa yang memberi hala tuju jelas kepada pemacu pertumbuhan baharu negara dalam era pasca-pandemik dan pasca-globalisasi.

“Antara komponen paling relevan kepada pasaran modal ialah tumpuan terhadap pelaburan awam strategik, pemerkasaan ekonomi digital serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.

"Ini memberi impak langsung kepada sektor tersenarai seperti utiliti, telekomunikasi, tenaga, teknologi dan pembinaan,” katanya.

Syarikat-syarikat dalam sektor ini dijangka menjadi penerima utama limpahan dasar, sekali gus membuka peluang pertumbuhan yang lebih luas dalam pasaran ekuiti tempatan.

Lebih penting, RMK13 turut memberi isyarat jelas terhadap penstrukturan semula fiskal dan reformasi subsidi iaitu dua elemen penting dalam memastikan kestabilan makroekonomi jangka panjang.

Kepastian fiskal ini amat diperlukan bagi menarik pelabur institusi berskala besar seperti dana kekayaan negara (SWF), institusi kewangan global dan syarikat multinasional.

“Dengan unjuran defisit fiskal yang menurun secara berperingkat, Malaysia berpotensi memperkukuh kedudukan kredit negara dan menarik minat pelabur dalam pasaran hutang dan ekuiti serantau,” tambahnya.

Dalam masa sama, sasaran pelaburan RM1.5 trilion dalam tempoh lima tahun membuktikan komitmen kerajaan untuk tidak hanya bergantung kepada sektor awam, malah menggalakkan penyertaan sektor swasta dan pelabur institusi dalam pembangunan ekonomi negara.

Langkah ini dijangka merancakkan pertumbuhan tawaran awam permulaan (IPO), penstrukturan korporat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta penyenaraian baharu dalam sektor hijau, teknologi dan infrastruktur sekali gus memperluaskan asas Bursa Malaysia dari segi bilangan syarikat dan pelabur.

“RMK13 menyediakan elemen dasar yang diperlukan untuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang lebih kukuh, mampan dan inklusif.

Ia juga menjadi asas kepada pemulihan nilai pasaran dan pembentukan semula keyakinan dalam pasaran modal domestik selepas tempoh kelembapan yang panjang,” jelas beliau.





#RMK13 #Bursa Malaysia #pelaburan #Mohd Sedek Jantan