MALAYSIA
RMK13: Pertanian fokus tangani kebergantungan makanan import - Anwar

Penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan tinggi negara kepada sumber makanan import. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, kerajaan bertekad dalam menjamin pengupayaan rakyat, menaikkan taraf kehidupan sosial serta memastikan akses kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan serta kesihatan yang mampu milik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Kerajaan komited meningkatkan mutu kehidupan rakyat melalui jaminan akses kepada makanan, perumahan dan kesihatan mampu milik. Tumpuan diberikan kepada pengupayaan sosial dan penurunan kos sara hidup secara menyeluruh.
- Pengeluaran makanan dalam negara dipertingkat bagi mengurangkan kebergantungan import, termasuk pembangunan pertanian berskala besar di lima negeri serta pelaksanaan program penanaman padi lima musim di kawasan MADA dan KADA. Usaha ini turut melibatkan RDCI, pertanian pintar dan ladang satelit.
- Rantaian bekalan makanan diperkukuh melalui penambahbaikan infrastruktur pengumpulan dan pengedaran. Persepsi terhadap sektor pertanian diubah sebagai bidang ekonomi berpotensi tinggi, dengan sasaran subsektor agromakanan menyumbang RM58 bilion menjelang 2030.
Beliau berkata pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah dan Perlis, serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan akan dipercepat dan diperluas, termasuk kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.
Selain itu Anwar berkata aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI), adaptasi pertanian pintar dan ladang satelit akan terus dipergiat menerusi kerjasama erat antara petani termasuk agropreneur muda, institusi penyelidikan dan pihak industri.
Perdana Menteri berkata sumber import makanan negara akan dipelbagaikan bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu, manakala kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara akan diperketat bagi menjamin keselamatan dan kualiti.
"Bagi menambah baik rantaian bekalan makanan secara menyeluruh, kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran serta sektor peruncitan berskala kecil dan sederhana akan diperkukuh," katanya.
Anwar turut mengetengahkan keperluan mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor pertanian yang sering dianggap sebagai kegiatan sara diri semata-mata.
"Minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan. Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami