MALAYSIA

RMK13: PETRA komited turunkan NRW menjelang 2030

Madiha Abdullah 20/08/2025 | 23:00 MYT
PETRA beri tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dalam RMK13. - Foto Facebook Fadillah Yusof
HULU LANGAT: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh pengurusan bekalan air negara dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Ringkasan AI
  • Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof beri tumpuan kurangkan Air Tidak Terhasil (NRW) melalui AIR2040 dengan ganti paip kritikal dan insentif kepada operator air.
  • Sasaran NRW turun kepada 28.8% menjelang 2030, walaupun liputan air kini tinggi pada 97% dengan rizab margin 14.9%.
  • Air dilihat sebagai teras pembangunan negara, dengan RMK13 rancang pembiayaan alternatif, inovasi teknologi dan kerjasama kerajaan negeri.


Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040), PETRA akan melaksanakan beberapa inisiatif strategik.

Ia termasuk Program Penggantian Paip Kritikal, Penyelesaian NRW Holistik dan pemberian imbuhan balik kepada operator air yang berjaya mencapai sasaran NRW yang telah ditetapkan di negeri-negeri yang dikenal pasti.

“Melalui langkah-langkah ini, kadar NRW dijangka dapat diturunkan kepada 28.8 peratus menjelang tahun 2030. Semalam (Selasa), pada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dengan perdana menteri, saya melaporkan libat urus dengan semua kerajaan negeri. Semua bersetuju supaya fokus untuk ganti paip ini adalah tumpuan utama kita, cuma model perniagaan dan kewangan akan diperincikan.

"Kita tak boleh tunggu secara tahunan, dua ke tiga peratus, kalau dapat kita nak selesai ganti paip keseluruhannya," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Langat 2, semalam.

Katanya, walaupun kadar liputan bekalan air pada 2024 berada pada tahap tinggi iaitu 97 peratus, dan rizab margin selesa pada 14.9 peratus, NRW masih mengekang kecekapan sistem air negara.

Dalam masa yang sama, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pengurusan air tidak boleh dilihat sekadar isu teknikal atau utiliti semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan teras pembangunan negara serta strategi adaptasi terhadap kesan perubahan iklim.

Di bawah RMK13, kerajaan turut merancang memperkenalkan pembiayaan alternatif bagi meningkatkan daya tahan kewangan sektor air, di samping mempergiat inovasi teknologi tempatan yang setanding piawaian antarabangsa.

"PETRA akan mempertingkatkan usaha untuk mengatasi cabaran-cabaran ini di mana langkah-langkah strategik dan matlamat AIR2040 akan terus diberi tumpuan dalam RMK13).

"Kerjasama dengan kerajaan negeri perlu diteruskan dalam perancangan dan pembangunan infrastruktur sumber air baharu bagi memastikan keperluan bekalan air untuk pengguna domestik dan industri yang kritikal bagi pembangunan negeri dapat dipenuhi seperti yang telah dilaksanakan dengan kerajaan negeri Selangor dalam projek-projek di bawah rancangan-rancangan Malaysia terdahulu dan akan datang," katanya lagi.







#bekalan air #Fadillah Yusof #loji rawatan air #NRW #RMK13