NATIONAL
'Road ban': Masih banyak kenderaan berat ingkar arahan
Beberapa buah kenderaan berat dilihat menggunakan laluan di sepanjang lebuh raya PLUS, termasuk lori treler. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Masih banyak kenderaan berat dikesan ingkar arahan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan dalam tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Larangan itu berkuat kuasa empat hari iaitu sebelum Aidilfitri pada 29 Mac dan 30 Mac, serta selepas perayaan iaitu 5 April dan 6 April.
Beberapa buah kenderaan berat dilihat menggunakan laluan di sepanjang lebuh raya PLUS, termasuk lori treler.
Awal Mac lalu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan arahan larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya.
Kenderaan barangan yang gagal mematuhi peraturan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana kompaun sebanyak RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, aliran trafik meningkat dengan ketara hari ini susulan cuti Aidilfitri yang semakin sampai ke penghujung.
“Kita jangka kesesakan berterusan sehingga esok.
“Walaupun jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sudah dikeluarkan PLUS, tapi ramai yang mengambil peluang menghabiskan cuti hingga ke penghujung,” kata jurucakap PLUS.
Antara laluan utama yang sesak ketika ini ialah Bandar Cassia menghala ke Jawi, arah selatan sebelum Terowong Menora dan Gopeng ke Tapah.
#kenderaan berat
#larangan pemanduan
#kenderaan barangan
#Aidilfitri
#kesesakan lau lintas
#road ban