KUALA LUMPUR: Taikun yang membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan memperdayakan jawatankuasa pembuka peti tender sehingga mendorong Kementerian Kewangan Malaysia menganugerahkan kontrak bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.

Pengerusi Spanco Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai Robert Tan, 83, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, lelaki ini didakwa menipu Kementerian Kewangan Malaysia, dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk 'Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet' Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan Malaysia bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.

Ia menerusi dokumen bertajuk 'Appendix IV (Annex i) Bidder's Profile', dan dia dituduh secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak 'Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleeť bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.

Sedangkan Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Beberapa saksi penting telah dirakam keterangan.

Ia termasuklah daripada agensi kerajaan serta individu dari syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan 'fleet' kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion. - Sinar Harian