Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang menghadapi empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai US$6.5 bilion, mengemukakan representasi kepada Peguam Negara bagi menyemak semula kesemua pertuduhan itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng, 47, semasa pengurusan kes itu hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Dua pertuduhan ke atas Ng didengar di hadapan Mohamed Zaini manakala dua lagi di hadapan Muhammad Jamil.

Tan berkata pihaknya telah menyerahkan sepucuk surat representasi kepada Peguam Negara semalam selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan berkaitan terbitan bon 1MDB ke atas Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia.

Timbalan Pendakwa Raya Roz Mawar Rozain berkata pihak pendakwaan memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi itu.

Beliau berkata Ng tidak hadir kerana berada di New York setelah diekstradisi untuk menghadapi pertuduhan kesnya di sana.

“Kesnya di New York ditetapkan selama enam minggu bermula sekitar Februari 2021,” katanya.

Pada Mei tahun lepas, Ng telah diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS berkaitan skandal 1MDB.

Roz Mawar juga memaklumkan kepada Hakim Muhammad Jamil bahawa pihaknya memohon untuk memindahkan dua pertuduhan yang dihadapi Ng di hadapan Hakim Mohamed Zaini ke mahkamah hakim itu.

"Hakim Mohamed Zaini telah mengarahkan pihak kami membuat satu permohonan secara bertulis yang kami akan memfailkannya dalam seminggu ini.

"Tarikh pendengaran permohonan itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini ditetapkan pada 20 Nov ini, jadi kami memohon satu tarikh sebutan sama ditetapkan untuk memaklumkan kepada Yang Arif (Hakim Muhammad Jamil) status permohonan tersebut," katanya.

Tan tidak membantah perkara itu dan mahkamah menetapkan 20 Nov untuk pengurusan kes.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Tan berkata representasi yang dikemukakan itu untuk menyemak semula keempat-empat pertuduhan yang dihadapi Ng.

Ng didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Dis 2018 atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1MDB bernilai US$6.5 bilion dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Ng mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat 1MDB, di Aras 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Beliau didakwa mengikut Subseksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Sept lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1MDB bernilai US$6.5 bilion (RM27.2 bilion).

Hakim Mohamed Zaini memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global itu yang berpangkalan di United Kingdom.

-- BERNAMA